Rabu, November 25, 2009

DUA TUJUH BUKAN TUJUH DUA

Dua tujuh satu jalan,
Jalan benar lagi benar,
Tujuh dua lain jalan,
Jalan sesat tiada petunjuk yang benar,
Dua tujuh di nyata oleh hamba dengan MENGAGUNGKAN RAJA,
Dalam 7 ayat di baca berulang - ulang,
Di dalam solat DIA BeRAJA,
Maqam TUHAN maqam hamba maqam doa,
Dihayati dan mati berulang - ulang,
Dua nafas roh dan jasad,
Tujuh ayat dinyata dengan lidah,
Tujuh ayat juga dinyata dengan hati,
Dinyata juga dengan perbuatan jasad,
Dibawa dalam kehidupan yang indah,
Dengan sifat waspada dan berhati - hati,
Dua tujuh membawa roh dan jasad,
Dalam mengenal hamba dan RAJA dengan asmaNYA Al- FATAH,
Sebesar - besar kurnia dan rahmatNYA dapat petunjuk untuk roh dan jasad,
Petunjuk benar lagi benar di jalan yang lurus dinyata dalam AL - FATIHAH.

NUKILAN : SUNGAIJIWA,10 JUN 2009,TANAH MELAYU

Ahad, November 08, 2009

TENANG DALAM PERJUANGAN - Hj. Ishak Itam, petikan dari majalah senibeladiri 1998


Seperti kata-kata yang telah mendahului kita; "… selagi bernafas, selagi itu hidup. Selagi hidup selagi itulah ilmu dicari. Ilmu yang tiada penghujung".

Begitu juga dalam perjuangan. Selagi bernyawa mereka yang sudah menyimpan atau perasaan yang sudah tersimpan akan terus bersemangat untuk langkah ke depan. Ada yang perlu bersingseng lengan, ada yang tidak perlu. Namun perjuangan peribadi wajar diaruskan supaya ia mengalir ke satu arah. Arah mungkin tidak menentu tetapi tetap kembali ke satu. Yang faham akan perjuangan tidak berganjak, yang mengerti erti perjuangan akan berlangkah untuk menyambung. Ini amanah dan ini juga amanat batin.

Haji Ishak Itam, Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia tahu erti-maksud perjuangan itu. Walaupun tidak pernah terfikir atau terlintas akan menjadi pemimpin tertinggi apatah lagi dapat kepercayaan ahli-ahli untuk menjadi guru utama sesebuah pertubuhan terbesar di negara ini. "Saya tidak pernah terfikir dan apabila diminta untuk menjadi guru utama, saya tersentak dan banyak berdoa…," kata Haji Ishak atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Ak'.

Ditanya mengenai perjuangan, dengan pantas tetapi senyum; "Masih banyak untuk diperjuangkan. Terutama dalam perpaduan antara umat Islam," Haji Ishak dilahirkan di Simpang 4 Kangkong, Batu 6, Alor Setar, Kedah kira-kira 63 tahun lalu. Ayah beliau keturunan Banjar manakala ibunya (Patimah Mat Din) dari Setoi. Dulu Setoi di bawah jajahan Kedah, kini di bawah jajahan Thailand. Haji Ishak adalah nombor tiga dalam bilangan 11 adik beradik.

Ikut sejarah, bapanya ada mewarisi darah pendekar dan ulama manakala ibunya pula Panglima Tahar iaitu seorang panglima seangkatan Panglima Ismail. Panglima-panglima ketika itu mengawal raja dan negeri serta mahir dalam seni tempur.

"Saya masih menyimpan senjata datuk saya seperti keris dan badik manakala tombak disimpan oleh adik saya (Ahmad Itam) yang tinggal di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam," kata Haji Ishak yang ditemui di Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Seperti pepatah; ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Haji Ishak mula mendapat dedahan ilmu persilatan dari bapanya ketika berusia sembilan tahun. Beliau mempelajari seni silat Gayong Fatani dengan bapa saudaranya (Bakar Din) hingga berusia 18 tahun sebelum beralih kepada Kuntau Jawa di bawah asuhan seorang guru dikenali Hasan Jawa."Sebagai penduduk kampung dan minat ketika itu pada ilmu persilatan. Kami mencari yang terbaik, jika tinggal jauh, kami jemput ke berbangsal di kampung kami," imbas Haji Ishak.

Sesudah Kuntau Jawa, seorang guru dari Pendang dikenal Tok Awang turut dijemput dari Bukit Kecik, Bukit Mertajam untuk mengajar."Kami bayar kepada beliau RM10 sebulan," ringkas Haji Ishak. Ilmu yang bakal diperolehi manusia hanya setitik di air laut. Haji Ishak terus dahagakan ilmu kependekaran. Beliau sedar, ilmu persilatan tiada noktah dan sempadan. Usaha untuk mencari guru terus memburu. Haji Ishak terus melangkah di gelanggang Silat Sendeng dan Silat Minangkabau. Dalam masa yang sama mempelajari Tomoi Siam dari seorang pemandu 'lori balak' bernama Osman Ahmad."Orangnya tinggi dan berfizikal tegap. Beliau dikenali Man Balak dan saya belajar hingga menjadi guru tomoi selama dua tahun, imbas Haji Ishak.

Pada tahun 1969, Haji Ishak diberitahu oleh seorang tukang gunting mengenai seorang guru silat yang terkenal dan telah membuka kelas di Kubang Semang. Kehebatan guru itu melalui cerita tukang gunting berkenaan telah menarik minat Haji Ishak. Beliau enggan melepas peluang untuk 'berdepan' dengan guru yang bernama Ustaz Hanafi Haji Ahmad. "Ini guru Tomoi Siam. Kenapa hendak belajar?" adalah antara kata-kata awal yang masih terpahat di ingatan Haji Ishak ketika menemui Ustaz Hanafi. Bak kata pepatah, lihat ikan di air sudah tahu jantan atau betina. Ustaz Hanafi 'kenal' seorang pendekar bila ditemui. Haji Ishak adalah murid ke 17 Ustaz Hanafi dan kegigihan beliau membuat dirinya tamat pelajaran hanya dua bulan 10 hari atau 30 kali berlatih. "Saya kagum dengan Silat Cekak. Almarhum Ustaz Hanafi suruh saya mencubanya dengan beberapa buah pukulan terbaik yang saya pelajari… saya tewas.

"Bagaimanapun balasan pukulan saya disambut dengan tidak mencederakan saya," ceritanya.
Sehubungan itu, Haji Ishak mengambil keputusan untuk terus bersama Silat Cekak dan menjadi jurulatih perguruan itu.

Kenapa beralih ke Cekak? Soal penulis. Haji Ishak dengan terbuka memberitahu banyak buah dari perguruan yang dipelajari tewas.

"Termasuk dapat mengatasi Tomoi Siam…," jawabnya ringkas.

"Hampir setiap malam latihan saya cuba Almarhum Ustaz Hanafi tetapi tak berjaya juga," senyum Haji Ishak.

Beliau kemudiannya mengajar kelas latihan Silat Cekak di Seberang Perai dan Pulau Pinang selain membuat penerangan dan demonstrasi.

Setelah Ustaz Hanafi meninggal dunia (13 Ogos 1986), Haji Ishak telah diisytiharkan sebagai Guru Utama pada 21 September 1986.

"Saya tidak pernah menduga untuk menjadi pemimpin. Saya sukar untuk membuat keputusan dan ketika itu banyak berdoa," ujarnya.
Mengenai Silat Cekak, Haji Ishak memberitahu pendidikan perguruan itu mengajar seseorang erti keyakinan.

"Cekak membawa erti tanggungjawab terhadap keluarga, diri dan sebagainya. Permainan Cekak berdiri lurus sama seperti seseorang itu diajar jangan berbohong sombong atau berdabik dada sebaliknya jujur, tetapkan pendirian dan pelbagai lagi," katanya.


Ahad, Julai 19, 2009

Aku Dan Aku

Berani Hidup Berani lah Mati
Itulah Dia Prinsip Punai Dan Sangkar
Bila Sudah Bertemu
Kasih Dan Sayang DiCurah
Bila Sudah Berpisah
Sakit Tak Terperi
Rasa Terasa
Bahagia Menanti
Abadi Berkekalan

Kisah Ustaz Hanafi -Sejarah siri 'try' yang pertama di Kuala Lumpur

Siri try pertama selepas tiba di Kuala Lumpur ialah dengan Pak Hashim Sendeng seorang pegawai penguatkuasa Majlis Bandaran Kuala Lumpur. Kejadian ini berlaku di dalam sebuah rumah papan di Lorong Raja Bot, Chow Kit Road (bangunan Ramly Mokhni sekarang).. yang mana sahabat Ustaz Hanafi iaitu Hussin Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Hussin Kelantan yang menjadi 'referee' dalam siri 'try' ini... dalam siri try ini masing-masing berjanji akan menyerang sebanyak 3 kali.. Pak Hashim hanya serang 2 kali jer... serangan pertama di ambil Ustaz Hanafi dengan Kaedah A tanpa di makan dengan hanya meletak tangan di pipi Pak Hashim.... serangan kedua pula telah di ambil Ustaz Hanafi dengan buah kilas belakang sehingga Pak Hashim Sendeng telah terhempas ke lantai dan seterus Pak Hashim Sendeng menolak untuk serangan untuk kali ketiga dari Ustaz Hanafi.. tiba giliran Ustaz Hanafi... sekali 'SHOOT 'terus terangkat Pak Hashim beberapa kaki ke belakang sehingga berlanggar dengan dinding rumah. Pak Hashim 'declare' Silat Cekak sangat bagus dan menggalakkan anak buahnya mempelajari seni bela diri ini.. Anak buahnya yang pertama ialah Ramli Boyan... iaitu orang kanan Pak Hashim Sendeng...

Isnin, Mei 11, 2009

Korban

Korbankan minda,
Korbankan hati,
Satukan di jiwa,
Tangkis apa nafsu menyusu,
Tauhidkan di taman lubuk hati,
Agar mekar semerbak kasturi,
Saat ketika ia datang,
Membawa panduan untuk dipatuhi,
Petunjuk benar lagi benar didatang,
aku gembira melihat aku,
Aku kenal siapa aku,
hatiku dipaku terkaku,
Rahmat Tuhan redhanya aku,
korbankan segala ada,
Untuk bersyukur dan memohon ampun,
Taat dibawa sampai ada,
Lurus berdiri mengadap Maha Pengampun,
Cukupkah pengorbanan daku,
Aku tiada upaya seberat habuk,
Nak dibandingkan aku longlai, lupa terpaku,
Sebab aku tiada kuasa sebesar habuk,
Hidup matiku dengan Allah kerana Allah kepada Allah dan dari Allah.

Nukilan : Sungaijiwa , Al Mizhar - Dubai
Jam 1.52 ptg , 07/12/08

Bicara Kehidupan

“UNTUK masuk ke syurga tidak susah,” ujar kawanku seorang penulis yang banyak bicara tentang tabiat manusia.
“Bagaimana caranya,” tanyaku.
“Hanya dengan memberi minum seteguk air pada seekor anjing yang sedang kehausan,” katanya.
Aku termenung mendengar kata-kata itu. Betapa tinggi nilainya falsafah kehidupan yang terkandung dalam susunan serangkap ayat.
Kenapa mesti anjing. Kenapa tidak rusa, kijang atau kuda, fikiranku mengulangi
Kata-kata yang diluahkan oleh rakanku tadi.
Sedangkan hukum mengatakan anjing itu najis. Anjing adalah antara binatang yang terhina,
Tetapi Tuhan menjadikan anjing. Bererti Dia merelakan adanya anjing. Malah anjing dijadikan umpama bagi seseorang itu untuk masuk syurga.
Apatah lagi kalau anjing itu manusia. Sesungguhnya kata-kata yang keluar dari manusia yang hina dan dinista adalah kata-kata hikmat yang mampu mengubah dunia.
Di sini tuhan anjing adalah Makhluknya. Di sini manusia anjing itu najis. Tetapi najis pada zahirnya. Pada batinnya bagaimana?
Bagaimana kejadian anjing dengan kejadian manusia? Kukira kejadiannya serupa. Tidak akan lahir seekor anjing kalau tiada jantan dan betina.
Apakah manusia itu anjing? Sudah tentu tidak. Jadi manusia itu apa? Inilah persoalan yang masih ku cari jawapannya. Aku masih belum ketemu manusia ini siapa. Yang jelasnya aku ini siapa. Aku bukan anjing.
Aku adalah aku. Anjing itu adalah anjing.
Kukira anjing itu tidak perlu tahu dirinya siapa. Hanya manusia saja yang perlu mencari jawapannya. Manusia lebih mulia daripada anjing kerana mencari dirinya. Segala tindak tanduk manusia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencari rahsia diri.
Tetapi mana hendakku cari. Aku pasti menjadi sesat kalau aku terus mencari. Bagaimana hendakku cari benda yang tiada kesudahan, yang tiada pangkal dan tiada hujung.
Tetapi yang jelas pada anjing aku tidak harus memandang hina. Apatah lagi pada manusia kerana manusia ini mengandungi rahsia. Rahsia yang sukar diungkapkan.
Kukira manusia ini terlalu angkuh pada diri, menganggap dirinya saja mulia. Begitu juga aku, masih ragu untuk mengaku anjing itu aku.
Sebenarnya anjing itu, tetapi aku harus mengumpul kekuatan untuk menganggap anjing itu aku.
“Ya tuhan! Aku tidak mengatakan anjing itu aku, selagi aku tidak mengetahui siapa aku.”
Aku rasa orang yang masuk syurga kerana memberi seteguk air kepada anjing yang kehausan adalah kerana dia mampu memandang anjing itu dia. Kerana dia tahu siapa dia.
Bagaimana dengan aku yang masih meraba-raba mencari aku.

Dari: Pak Syeikh Al-Langat

Khamis, Mac 12, 2009

HIDUP MATI

Tanah mana di cari
Untuk bercucuk tanam
Mata air juga dicari
Agar ia subur tebenam
Hiduplah ia dengan rahmat
Lurus berdiri ia menegak
Mencari matlamat
Dan hasil tertegak
Kebun dicuci bersih
Hingga sampah tiada
Dibuang penuh kasih
Moga cantik yang ada
Sayang kasih cinta terdapat
Rahmat juga dikurniakan
Tak terkira ia mendapat
Rebah syukur di berikan
Masa sampai untuk dituai
Hasilpun sudah dirasa
Terima kasih dan taat dibuai
Di bawa bersama kekal serasa

Nukilan : Sungaijiwa, Almizhar - Dubai
3.00 pagi , 03/12/08