Ahad, November 08, 2009

TENANG DALAM PERJUANGAN - Hj. Ishak Itam, petikan dari majalah senibeladiri 1998


Seperti kata-kata yang telah mendahului kita; "… selagi bernafas, selagi itu hidup. Selagi hidup selagi itulah ilmu dicari. Ilmu yang tiada penghujung".

Begitu juga dalam perjuangan. Selagi bernyawa mereka yang sudah menyimpan atau perasaan yang sudah tersimpan akan terus bersemangat untuk langkah ke depan. Ada yang perlu bersingseng lengan, ada yang tidak perlu. Namun perjuangan peribadi wajar diaruskan supaya ia mengalir ke satu arah. Arah mungkin tidak menentu tetapi tetap kembali ke satu. Yang faham akan perjuangan tidak berganjak, yang mengerti erti perjuangan akan berlangkah untuk menyambung. Ini amanah dan ini juga amanat batin.

Haji Ishak Itam, Guru Utama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia tahu erti-maksud perjuangan itu. Walaupun tidak pernah terfikir atau terlintas akan menjadi pemimpin tertinggi apatah lagi dapat kepercayaan ahli-ahli untuk menjadi guru utama sesebuah pertubuhan terbesar di negara ini. "Saya tidak pernah terfikir dan apabila diminta untuk menjadi guru utama, saya tersentak dan banyak berdoa…," kata Haji Ishak atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Ak'.

Ditanya mengenai perjuangan, dengan pantas tetapi senyum; "Masih banyak untuk diperjuangkan. Terutama dalam perpaduan antara umat Islam," Haji Ishak dilahirkan di Simpang 4 Kangkong, Batu 6, Alor Setar, Kedah kira-kira 63 tahun lalu. Ayah beliau keturunan Banjar manakala ibunya (Patimah Mat Din) dari Setoi. Dulu Setoi di bawah jajahan Kedah, kini di bawah jajahan Thailand. Haji Ishak adalah nombor tiga dalam bilangan 11 adik beradik.

Ikut sejarah, bapanya ada mewarisi darah pendekar dan ulama manakala ibunya pula Panglima Tahar iaitu seorang panglima seangkatan Panglima Ismail. Panglima-panglima ketika itu mengawal raja dan negeri serta mahir dalam seni tempur.

"Saya masih menyimpan senjata datuk saya seperti keris dan badik manakala tombak disimpan oleh adik saya (Ahmad Itam) yang tinggal di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam," kata Haji Ishak yang ditemui di Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur. Seperti pepatah; ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.

Haji Ishak mula mendapat dedahan ilmu persilatan dari bapanya ketika berusia sembilan tahun. Beliau mempelajari seni silat Gayong Fatani dengan bapa saudaranya (Bakar Din) hingga berusia 18 tahun sebelum beralih kepada Kuntau Jawa di bawah asuhan seorang guru dikenali Hasan Jawa."Sebagai penduduk kampung dan minat ketika itu pada ilmu persilatan. Kami mencari yang terbaik, jika tinggal jauh, kami jemput ke berbangsal di kampung kami," imbas Haji Ishak.

Sesudah Kuntau Jawa, seorang guru dari Pendang dikenal Tok Awang turut dijemput dari Bukit Kecik, Bukit Mertajam untuk mengajar."Kami bayar kepada beliau RM10 sebulan," ringkas Haji Ishak. Ilmu yang bakal diperolehi manusia hanya setitik di air laut. Haji Ishak terus dahagakan ilmu kependekaran. Beliau sedar, ilmu persilatan tiada noktah dan sempadan. Usaha untuk mencari guru terus memburu. Haji Ishak terus melangkah di gelanggang Silat Sendeng dan Silat Minangkabau. Dalam masa yang sama mempelajari Tomoi Siam dari seorang pemandu 'lori balak' bernama Osman Ahmad."Orangnya tinggi dan berfizikal tegap. Beliau dikenali Man Balak dan saya belajar hingga menjadi guru tomoi selama dua tahun, imbas Haji Ishak.

Pada tahun 1969, Haji Ishak diberitahu oleh seorang tukang gunting mengenai seorang guru silat yang terkenal dan telah membuka kelas di Kubang Semang. Kehebatan guru itu melalui cerita tukang gunting berkenaan telah menarik minat Haji Ishak. Beliau enggan melepas peluang untuk 'berdepan' dengan guru yang bernama Ustaz Hanafi Haji Ahmad. "Ini guru Tomoi Siam. Kenapa hendak belajar?" adalah antara kata-kata awal yang masih terpahat di ingatan Haji Ishak ketika menemui Ustaz Hanafi. Bak kata pepatah, lihat ikan di air sudah tahu jantan atau betina. Ustaz Hanafi 'kenal' seorang pendekar bila ditemui. Haji Ishak adalah murid ke 17 Ustaz Hanafi dan kegigihan beliau membuat dirinya tamat pelajaran hanya dua bulan 10 hari atau 30 kali berlatih. "Saya kagum dengan Silat Cekak. Almarhum Ustaz Hanafi suruh saya mencubanya dengan beberapa buah pukulan terbaik yang saya pelajari… saya tewas.

"Bagaimanapun balasan pukulan saya disambut dengan tidak mencederakan saya," ceritanya.
Sehubungan itu, Haji Ishak mengambil keputusan untuk terus bersama Silat Cekak dan menjadi jurulatih perguruan itu.

Kenapa beralih ke Cekak? Soal penulis. Haji Ishak dengan terbuka memberitahu banyak buah dari perguruan yang dipelajari tewas.

"Termasuk dapat mengatasi Tomoi Siam…," jawabnya ringkas.

"Hampir setiap malam latihan saya cuba Almarhum Ustaz Hanafi tetapi tak berjaya juga," senyum Haji Ishak.

Beliau kemudiannya mengajar kelas latihan Silat Cekak di Seberang Perai dan Pulau Pinang selain membuat penerangan dan demonstrasi.

Setelah Ustaz Hanafi meninggal dunia (13 Ogos 1986), Haji Ishak telah diisytiharkan sebagai Guru Utama pada 21 September 1986.

"Saya tidak pernah menduga untuk menjadi pemimpin. Saya sukar untuk membuat keputusan dan ketika itu banyak berdoa," ujarnya.
Mengenai Silat Cekak, Haji Ishak memberitahu pendidikan perguruan itu mengajar seseorang erti keyakinan.

"Cekak membawa erti tanggungjawab terhadap keluarga, diri dan sebagainya. Permainan Cekak berdiri lurus sama seperti seseorang itu diajar jangan berbohong sombong atau berdabik dada sebaliknya jujur, tetapkan pendirian dan pelbagai lagi," katanya.