Jumaat, April 08, 2011

Tuan Hussain Kedah



Tuan Hussain Kedah atau nama sebenarnya Hussain bin Nasir bin Muhammad Taib dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar pada 2 November 1863 bersamaan 20 Jamadilawal 1280 Hijrah. Beliau berasal daripada keluarga ulama yang tinggal di Kalimantan. Pada sekitar tahun 1841, Haji Mas´ud, datuk kepada Tuan Hussain singgah di Sungai Kedah dalam perjalanan pulang ke Kalimantan dari Mekah.

Pada kesempatan tersebut Haji Mas´ud telah memainkan peranan penting membantu kerajaan Kedah dalam perang menentang Siam. Bagaimanapun, Haji Mas´ud telah terkorban dalam peperangan itu pada tahun 1842. Melihat keadaan itu, anaknya, Muhamad Taib dan ahli keluarga yang lain telah mengambil keputusan untuk menetap di Kedah demi mencari kehidupan baru. Kelahiran Tuan Hussain dalam keluarga ini terus memberi sinar, khususnya dalam perkembangan dakwah Islamiah. Apatah lagi, keluarga Muhamad Taib terdiri di kalangan warisan ulama.

Dalam sejarah perjuangannya, Tuan Hussain merupakan seorang penulis kitab-kitab agama yang terkenal di Nusantara. Tokoh ini telah menghasilkan 18 buah kitab mengenai fiqh, tauhid, dan tasawuwf. Dalam mendidik ummah setempat pula, Tuan Hussain mengajarkan tulisan jawi serta mendirikan pondok sebagai institusi pendidikan.

Beliau mendirikan sekolah pondok di beberapa kawasan di Kedah dalam usahanya mengukuhkan pendidikan Islam. Antara tempat-tempat tersebut ialah di Bohor, Selengkoh, Padang Lumat serta di Pokok Sena, Seberang Perai. Satu perkara yang menarik tentang tokoh ini ialah sistem dan disiplin yang diterapkan dan dilaksanakan dalam mengendalikan sekolah yang diasaskannya. Kawasan institusi pendidikan itu dilengkapi surau. Manakala rumah-rumah pondok (tempat penginapan) pelajar dibina secara tersusun. Untuk mereka yang berkeluarga pula, dibina pondok di dalam kawasan sekolah. Manakala untuk pelajar bujang didirikan pondok di kawasan luar.

Para pelajar Tuan Hussain terdiri daripada remaja belasan tahun hinggalah kepada orang tua yang berumur 50 tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar tempatan. Bagaimanapun, ada juga yang datang dari Sumatera, Patani, dan Brunei. Hal ini menunjukkan betapa pengaruh pendidikan institusi pondok Tuan Hussain begitu meluas.

Meskipun sistem perhubungan pada waktu itu amat sukar lantaran institusi pendidikan belum banyak didirikan oleh pihak kerajaan (penjajah), namun cabaran ini telah menyemarakkan semangat Tuan Hussain. Pada waktu itu pelajar digalakkan bekerja sendiri bagi menampung kehidupan. Sebahagian daripada mereka menjalankan usaha bersawah padi bersama-sama penduduk tempatan.

Tuan Hussain menetapkan jadual belajar yang tekal untuk pelajar-pelajarnya. Beliau akan mengajar bermula dari tengah hari hingga ke petang. Waktu pembelajaran tersebut merangkumi sembahyang Zuhur dan Asar secara berjemaah. Manakala pembantu-pembantu Tuan Hussain akan mengajar pada waktu malam.

Jadual yang disediakan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar pondok itu mencari nafkah kehidupan pada waktu pagi. Jadi, waktu tengah hari dan malam hanya masa untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Pondok Tuan Hussain semakin mendapat sambutan hebat daripada pelajar. Pada satu ketika terdapat lebih 50 buah pondok didirikan di satu-satu lokasi. Menyedari keadaan itu, Tuan Hussain memperkenalkan asrama (rumah panjang) yang berupaya didiami oleh bilangan pelajar yang ramai.

Dalam satu-satu musim pengajian, pondok ini mempunyai lebih daripada 400 orang pelajar dan angka ini ada kalanya mencapai lebih 1000 orang. Demikianlah bukti kejayaan, hasil kegigihan Tuan Hussain yang sukar bagi sesiapa untuk menafikannya.

Selain mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tuan Hussain dan pembantunya, para pelajar membaca kitab-kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain sendiri. Mereka juga turut merujuk kepada nota-nota yang disalin oleh pelajar-pelajarnya yang terdahulu.

Terdapat 18 buah kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain. Kitab tersebut turut digunakan di seluruh Nusantara, baik melalui penerbitan mahupun yang dibawa oleh bekas pelajarnya yang datang dari seluruh pelosok Alam Melayu. Antara kitab tersebut ialah al-Nur al-Mustafid fi Aqaid Ahi al-Tauhid (1887), Tamrin al-Sibyan (1809), Hidayat al-Sibyan (1911), Hidayat al-Mutafakkirin (1918), Kasr al-Iksir (1920), Hidayat al-Talibin (1924), Tadrih al-Sibyan (1926), dan banyak lagi.

Jelaslah bahawa tokoh ini, selain memberi kuliah, beliau juga menulis, bahkan menurunkan ilmunya dalam bentuk dokumen yang amat berharga. Semua itu dapat diwariskannya hingga ke hari ini. Pastinya tokoh ini mempunyai disiplin masa yang begitu tersusun dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Berdasarkan kepada keampuhan ilmu agama yang dimiliki oleh Tuan Hussain dalam bidang fiqh, tauhid, dan tasawuf, beliau mendapat perhatian daripada pihak Istana Perak. Tokoh ini mendapat undangan mengajar di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Beliau juga ada mengajar di masjid di Teluk Intan dan Parit. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat amat memberangsangkan.

Selain itu, beliau juga telah menterjemah kumpulan hadis Jawahir al-Bukhari. Terjemahan itu kemudiannya dibukukan dan dinamakan Tadzkir Qabail al-Qadhi (1923). Tegasnya, tokoh ini arif dalam ilmu al-Quran dan hadis, iaitu ilmu asas yang penting dalam Islam.

Sewaktu kecil, Tuan Hussain mendapat bimbingan agama daripada datuk beliau, Muhamad Taib. Kemudian berangkat berangkat ke Patani dan berguru dengan Tuan Semela di Pondok Uala´. Tokoh ini turut berguru di tempat-tempat lain seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, dan Melaka. Akhirnya, Tuan Hussain menyambung pengajian di Mekah.

Ketika berada di Tanah Suci, Tuan Hussain mengambil kesempatan untuk berguru dengan para ulama terkenal termasuklah Tuan Syeikh Hasbullah, Tuan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Syeikh Ahmad Lingga, Tuan Syeikh Umar Sumbawa, Tuan Syeikh Muhammad Khafat, dan Tuan Syeikh Umar Bali.

Di sana, Tuan Hussain bertemu dengan ramai sahabat, antaranya Tok Kenali dari Kelantan, Haji Wan Sulaiman Sidik, dan Tuan Haji Yaakub Sik dari Kedah. Sekembalinya dari Mekah kira-kira pada tahun 1896, Tuan Hussain terus membuka pondok pengajian bagi memberi bimbingan kepada penduduk tempatan. Ketika itu beliau berusia dalam lingkungan tiga puluhan.

Antara murid-murid Tuan Hussain yang terkenal ialah Datuk Haji Abdul Rahman Haji Abdullah, Haji Ismail Sulaiman, Haji Omar Merbok, dan Haji Ghazali Haji Arshad. Tradisi ilmu yang diasaskan dan dibina oleh Tuan Hussain ini terus dikembangkan oleh murid-muridnya. Selain itu, sebahagian institusi pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussain masih kekal sehingga sekarang. Antaranya ialah Pondok Padang Lumat, Kedah dan Pokok Sena, Pulau Pinang.

Tuan Hussain amat tegas dalam pendirian, terutama dalam perkara halal dan haram. Tokoh ini berpegang teguh kepada al-Quran dan hadis tanpa kompromi. Pendirian yang sedemikian ini kadangkala kurang disenangi oleh pihak pemerintah yang mahu bertolak ansur.

Antara pendirian Tuan Hussain, beliau tetap mengharamkan sebarang bentuk perjudian sebagaimana tuntutan agama. Manakala wang zakat mesti diterima oleh golongan yang berhak dan tidak boleh diagihkan sesuka hati. Tetapi apabila hal berkenaan dijelaskan oleh Tuan Hussain berdasarkan kepada pegangan Islam, pemerintah dan rakyat dapat menerimanya. Mulai saat itu, beliau sangat disegani dan dihormati dalam mengendalikan hal ehwal agama Islam.

Tokoh ini meninggal dunia pada tahun 1936 dalam usia 73 tahun. Pada awalnya pihak istana Kedah berhasrat untuk mengebumikan jenazah Tuan Hussain di Makam Diraja Kedah yang terletak di Langgar. Bagaimanapun, Tuan Hussain telah mewasiatkan kepada isterinya, Hajah Mariam, supaya jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya di Titi Gajah.

Tuan Hussain meninggalkan bukan sekadar khazanah ilmu yang ditulisnya dalam 18 buah kitab sebagaimana yang telah disebutkan, tetapi juga meninggalkan tradisi institusi sekolah pondok yang kekal sehingga kini.

Selain itu, Tuan Hussain juga meninggalkan kira-kira 150 relung tanah untuk anak cucunya dan ada di antara tanah tersebut yang telah diwakafkan untuk tujuan dakwah Islamiah. Tradisi pondok Tuan Hussain yang memulakan sistem pengajian tersusun itu mendapat perhatian daripada sarjana tempatan dan luar negara.

Dalam kalangan para sarjana yang melakukan kajian, mendapati bahawa Tuan Hussain lebih dikenali dengan nama Tuan Hussain Kedah. Nama gelaran yang selalu digunakan ialah Tuan Hussain Nasir ibni Muhammad Taib al-Mas’udi.