Jumaat, Jun 08, 2012

SILAT KEDAH atau SILAT CHEKAK ~Dari segi falsafah - Sejarah dan Qaedah~



Tidak-lah di-ketahui siapa kah yang mula2 sekali menchipta seni Silat Kedah ini. Hanya menurut apa yang di-riwayatkan oleh inche Yahaya Said – guru silat kita – bahawa Silat Chekak ini berasal dari Negeri Kedah dan di-amalkan oleh keluarga di-raja dan panglima2 yang terkanan di-negeri ini kira-kira 100 tahun lalu.

Salah sa-orang Panglima Silat Chekak yang di-ketahui ia-lah Panglima Ismail dan kemudian Panglima Tok Rashid dari Sungai Daun sana. Peristiwa ini telah berlaku kira2 50 tahun yang lalu dan kubor Allahyarham itu maseh ada lagi sampai sekarang ini di-satu tempat di-Jajahan Krian itu.

Panglima Tok Rashid ini-lah yang telah mengajar Che Yahaya - guru silat kita itu – akan kepandaian silat ini. Konon kabar-nya tidak-lah ada sa-orang pun yang pernah belajar hingga tammat lengkap saperti yang telah dipelajari oleh Che Yahaya. 


Sekarang Che Yahaya telah menurunkan pula ilmu-nya kepada putra2 bumi asal-nya ia-itu putra2 kedah menerusi Perkumpulan Seni Sari Budaya Sri Kedah.

Bersempena peristiwa2 itu-lah maka Silat Chekak ini telah kita berikan nafas baru dan nama baharu ia-itu “SILAT KEDAH”.


Dari kajian2 yang mendalam terhadap falsafah dan qaedah silat ini kita merasa yakin bahawa Silat Kedah telah lahir dan di-chipta sa-telah orang2 Melayu memelok Ugama Islam dan oleh orang2 yang sungguh alim dengan ilmu2 igama dan tahu chara2 silat melayu. 

Kalau hendak di-buktikan kata2 tadi dengan tulisan maka saya kira ini akan memenohi sabuah buku yang tebal. Memadailah sahaja dalam risalah yang kechil ini kalau saya katakan bahawa SILAT KEDAH di-chipta berjiwakan KALIMAH ALLAH dan gerak geri-nya berdasarkan ibadat yang paling besar erti-nya kapada umat islam ia-itu ibadat SEMBAHYANG.

Setiap orang yang hendak mempelajari silat ini akan di-minta menguchapkan perkataan, "SILAT AKU SILAT KALIMAH, AKU SILAT DALAM KALIMAH" dan Setiap pengertian kata2 itu akan di-tanam kedalam hati kechil-nya sa-hingga menjadi darah daging. Dan apabila mereka menyerang atau menangkis serangan musoh maka gerak geri orang sembahyang ada-lah di-gunakan. Ada yang seperti orang bertakbir, berdoa, roko’, sujud dan lain2. Bahkan berdiri-nya pun saperti berdiri orang sembahyang, ia-itu berdiri betul dengan kaki yang tidak terlalu terbuka atau terlalu rapat dan tidak pula satu di-belakang satu saperti lain2 jenis silat Melayu atau silat bangsa2 lain. 


Silat Kedah tidak melangkah ka-kiri atau ka-kanan atau undor ka-belakang. Bahkan semuanya mara ka-hadapan, ia-nya tidak memerlukan gerak badan yang luar biasa atau di-luar kemampuan sa-orang manusia yang normal, saperti gaya akrebat atau gerak tunggang balek. Apa yang di-perlu-kan hanya-lah gerak biasa atau gerak semula jadi manusia. SILAT KEDAH ada-lah satu hasil seni dan bukan-nya sokan.

Didalam susunan pelajaran-nya ia mengkaji dan mempelajari kesimpulan atau keputusan dari beberapa jenis silat dan penyudah-nya pula bagaimana memotong serangan2 saperti itu dengan chara-nya sendiri. Sebab itu kalau orang melihat latehan silat ini maka mereka akan dapat melihat permulaan yang berbagai chara tetapi penyudah yang hampir serupa sahaja. 


Sekarang ini PENCHAK atau TARI di-dalam Seni Silat tidak digemari orang lagi. Silat2 Melayu kebanyakan yang ada sekarang ini sangat mementingkan PENCHAK dan TARI ini. Sebab itu bagi pemuda kita dan kaum2 terpelajar yang sudah terpesona dengan ketangkasan silat2 luar negeri itu, silat Melayu sudah tidak mendapat perhatian lagi. Ini-lah faktor yang penting sekali mengapa silat Melayu mundor.

SILAT KEDAH tidak mementingkan tari itu. Silat Kedah menchari jalan dekat dalam chara-nya bertindak. Karena kami yakin Silat Kedah ini kalau di-ketengahkan akan tetap menarek perhatian seluroh raayat kita dan mungkin ia-nya dapat diterima sebagai Silat Kebangsaan kita saperti kita menerima bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. 


Perjuangan menjadikan silat ini silat nasional bukan sahaja merupakan perjuangan SRI KEDAH, yang memang bertujuan menyalorkan Kebudayaan Melayu ka-dalam Kebudayaan Nasional bahkan seharus-nya merupakan satu perjuangan raayat yang chintakan seni budaya bangsa dalam usaha melawan pengaroh2 luar yang kami perchaya sangat tidak sesuai dengan keperibadian kita dan mutu-nya tak akan dapat setanding dengan pusaka asli kita itu. 

Sekian.