Jumaat, Januari 16, 2009

Ustaz Hj. Hanafi Hj. Ahmad

























Berikut adalah sejarah hidup beliau secara ringkas.


Ustaz Hj. Hanafi Hj Ahmad (1923 – 1986) - 63 tahun.


Tahun 1923 - dilahirkan di Kg Sungai Baru, Mukim Gunong Alor Setar, Kedah.

Tahun 1929 (6 tahun) -mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunong,Alor Setar Kedah.

Tahun 1933 (9 tahun) -belajar di sekolah pondok Kampong Alor Goncah, Mukim Gunong, Alor Setar, Kedah.

Tahun 1935 (11 tahun) -diberhentikan dari sekolah kerana dikatakan berkelakuan tidak baik walaupun beliau menafikannya.

Tahun 1936 (13 tahun) -menyambung pelajaran di pondok Guar Chempedak, Gurun, Kedah.

Tahun 1937 (14 tahun) -berhenti dari sekolah pondok di Guar Chempedak.

Tahun 1937 (14 tahun) - selepas behenti dari pondok di Guar Chempedak, beliau kembali ke kampung beliau dan belajar dengan beberapa guru sekolah pondok di kampung beliau dan juga bapa saudara beliau untuk beberapa tahun.


Tahun 1942 (19 tahun) -mula bertemu dan belajar dengan Pak Ngah Sharif selama 3 tahun. Antara ilmu yang diperlajari adalah ilmu ketuhanan dan perubatan.

Tahun 1945 (22 tahun) -mula menjelajah ke seluruh tanah air untuk menjual ubat.

Tahun 1946 (23 tahun) -menyertai bidang politik dengan menganggotai Parti Seberkas.


Tahun 1946 (23 tahun) -bertemu Encik Yahaya Said untuk kali pertama ketika sedang menjual ubat.

Tahun 1947 (24 tahun) - mendirikan rumah tangga dengan Puan Maimunah Haji Othman.




Tahun 1956 (33 tahun) - keluar dari Parti Seberkas.


Tahun 1957 (34 tahun) -mula belajar dengan Pak Hj Zain Lebai Abdul Rahman bersama Hussin Muhammad.

Tahun 1959 (36 tahun) - menyertai Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar. Bertanding dalam pilihanraya bagi Kawasan Langkawi sebagai calon Parti Negara tetapi tewas. Setelah tewas dalam pilihanraya, Ustaz Hanafi dan keluarga telah berpindah ke Lenggeng, Negeri Sembilan dan tinggal di sana selama satu tahun setengah.


Tahun 1962 (39 tahun) - kerana kehidupan yang susah di Lenggeng, beliau kembali ke Kedah dan meneruskan kerja menjual ubat di Pekan Rabu dan sekitarnya.

Tahun 1963 (40 tahun) -dilantik menjadi Pegawai Penerangan Pejabat Zakat dan kemudiannya beliau dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Penyelia Zakat bagi kawasan Kota Setar I. Beliau kemudian telah dinaikkan pangkat sekali lagi menjadi Penolong Setiausaha Zakat , Jajahan Padang Terap, Kuala Nerang, Kedah.

Tahun 1965 (42 tahun) -selepas selama satu tahun empat bulan berkerja sebagai pegawai zakat, Ustaz Hanafi mengambil keputusan berhenti dari kerja tersebut. Keputusan tersebut dibuat kerana teguran dari
Pak Hj Zain Lebai Abdul Rahman disamping suasana pekerjaan yang ditekan oleh unsur-unsur & tekanan politik.
Tahun 1965 (42 tahun) -berniaga apam balik di Yala, Siam tetapi tidak lama selepas itu berhenti berniaga kerana tidak menguntungkan kerana kejatuhan matawang Siam. Pada tahun ini, beliau telah bertemu dengan Encik Yahaya Said untuk kali kedua pada bulan Disember tahun 1965. Silat Cekak dilahirkan kembali pada 28 Disember 1965 apabila 20 orang penuntut baru telah diijazahkan oleh Encik Yahaya Said. Ustaz Hanafi adalah salah seorang penuntut. Walaubagaimanapun kelas latihan silat belum dijalankan kerana tidak persatuan yang menaungi silat tersebut.


Tahun 1966 (43 tahun) - hasil usaha beberapa rakan dan beliau sendiri, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sesi Silat, Perkumpulan Seni Seri Budaya Seri Kedah. Perkumpulan ini telah bersetuju digunakan sebagai perkumpulan yang menggerakan Silat Cekak. Selepas menjadi pengerusi Sesi Silat, maka Encik Yahaya Said telah dilantik secara rasmi oleh Perkumpulan Seni Seri Budaya Seri Kedah untuk menjadi Guru Silat. Selepas perlantikan tersebut, barulah kelas pertama Silat Cekak dimulakan. Kemudian kelas silat yang kedua telah dibuka di Telok Wan Jah, Kedah.

Tahun 1968 (45 tahun) -kelas silat seterusnya dibuka di Sungai Petani, Kedah.

Tahun 1970 (47 tahun) -berhijrah ke Kuala Lumpur, meninggalkan anak dan isteri beliau di Kedah. Sesampainya di Kuala Lumpur, beliau telah di sambut oleh sahabat lamanya iaitu Hussin Muhammad atau lebih di kenali Pak Hussin Kelantan .

Tahun 1971 (48 tahun) -di Kuala Lumpur , beliau telah cuba mengembangkan Silat Cekak. Beliau telah sekali lagi mencari persatuan yang boleh membantu beliau untuk mengembangkan silat ini. Kerana Silat Cekak pada waktu itu belum didaftarkan dan adalah menjadi kesalahan untuk menjalankan kelas silat tanpa persatuan atau pendaftaran rasmi. Beliau telah berjaya mendapat kebenaran Persatuan Bawean Putra untuk menaungi silat ini (kebetulan YDP Persatuan Bawean Putra ketika ialah Hussin Muhammad). Beliau kemudian dilantik menjadi ahli dan juga ketua seksi seni silat Persatuan Bawean Putra, Kuala Lumpur (persatuan sepak raga jaring). Kelas pertama di adalah Kampung Bumiputera, Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur di buka. Seramai 12 orang telah mempelajari Silat Cekak.
Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia telah didaftarkan. Kelas kedua di Sungei Way dibuka pada 6 Disember 1971.

Tahun 1973 (50 tahun) - membentang kertas kerja bertajuk ‘Silat Cekak Malaysia di Konvensyen Seni Silat Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mendapat tentangan dari pelbagai aliran persilatan termasuk Silat Kalimah, Gayung dan Lincah.
Tahun 1974 (51 tahun) -kelas pertama di IPT ditubuhkan iaitu di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada Julai 1974.
Tahun 1975 (52 tahun) -kelas kedua di IPT iaitu di Institut Teknologi MARA (sekarang UiTM), Shah Alam ditubuhkan.
Kelas ketiga di IPT iaitu di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia) di tubuhkan.
Kelas keempat di IPT iaitu di Universiti Teknologi Malaysia ditubuhkan.

Tahun 1975 (52 tahun) -nama Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia telah ditukarkan kepada nama Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 15 April 1975.

Tahun 1976 (53 tahun)-kelas kelima di IPT iaitu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ditubuhkan. Kelas kenam di IPT iaitu di Universiti Kebangsaan Malaysia di tubuhkan pada tahun yang sama.

Tahun 1977 (54 tahun) -penubuhan cawangan Pulau Pinang pada 22 Januari 1977 dan kemudiannya cawangan di Ipoh, Perak pada 27 Mac 1977 ditubuhkan dan lain-lain cawangan pada tahun-tahun berikutnya.

Tahun 1980 - 86 - untuk enam tahun terakhir sebelum akhir hayat beliau, beliau telah banyak melakukan pembaharuan dan melakarkan kejayaan antaranya seperti pembinaan bangunan Silat Cekak, pembukaan kelas di cawangan-cawangan, menubuhkan Koperasi Gerak Jaya berhad, menubuhkan Kelab Sukan Seri Lading, pembukaan Mini Market Gerak Jaya di AU2, Taman Keramat, pembukaan pusat penjagaan kanak-kanak di AU5, Taman Keramat, terlibat ke atas penubuhan PESAKA.





Tahun 1986,13 Ogos (63 tahun) -meninggal dunia di rumah beliau di Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur.




*tambahan
Sebelum mempelajari Silat Cekak, Ustaz Hanafi pernah mempelajari Tomoi Siam, Silat Sendeng dan Silat Terelak. Untuk makluman, beliau merupakan pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).

KELUARGA ALMARHUM USTAZ HAJI HANAFI BIN HAJI AHMAD