Rabu, Oktober 05, 2011

Keaslian Silat Cekak Usah Diragukan ~ Hanafi Hj. Ahmad




Saya sangat tertarik membaca ulasan Radzuan Long mengenai Silat Cekak (Dewan Masyarakat – Ogos) yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat September 1973. Sebenarnya ulasan Radzuan Long merupakan satu tuduhan yang mengelirukan dan mungkin pula membahayakan. Tuduhan yang tidak berasas ini memburukkan nama silat cekak. Tuduhan yang sama pernah di lemparkan dalam Konvensyen Seni Silat Melayu di Universiti Sains Pulau Pinang pada 12hb – 14hb 1973 lalu. Sekarang sudah berlarutan pula ke dalam Dewan Masyarakat.

Penulisnya menuduh: pertama, kenapa Ustaz Hanafi menjadi guru silat cekak, sedangkan gurunya masih hidup lagi?

Jawab: Saya menjadi guru silat cekak selepas tamat semua pelajaran. Kemudian saya diberi mandat dan kuasa oleh guru saya. Semua syarat untuk menjadi guru telah diwarisi. Radzuan Long dan abangnya Azmi Long pernah belajar dengan saya pada 10 Januari 1969 di dalam Badan P.S.S.B Seri Kedah. Nombor daftar menjadi ahli 90 bagi Azmi, 91 bagi Radzuan. Kenapa di masa itu tidak ditanya masalah ini?

Kedua: Sebenarnya silat cekak dari Kalimah.

Jawab: Pengakuan ini palsu semata-mata kerana nama silat cekak lahir di Seri Kedah pada 28hb. Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385 di rumah kediaman Shafie Darus, batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Sementara silat Kalimah lahir pada 26hb. November 1971, terdaftar di Pulau Pinang dan alamatnya Sg. Petani, bukan Batu Caves, Kuala Lumpur.

Kemudian, penulisnya mendakwa: Pertama, kata-kata “Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” adalah hak Silat Kalimah.

Jawab: Perkataan Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” mula lahir dari silat cekak. (Lihat keterangan di dalam buku cenderamata Pesta Drama dan Tari Seri Kedah pada 13hb. September 1966 di bawah tajuk “Sedikit Tentang SILAT KEDAH ATAU SILAT CEKAK dari Segi Falsafah, Sejarah dan Kaedah.”).

Kedua: Kata-kata “Ajib Ya Khadam Harful Ba’ Saidul Kharhayail Takunu Kadaihajati” disifatkan sebagai doa yang besar dan asli.

Jawab: Doa itu yang diakui sah dan asli oleh Jahid bin Hj. Sidek (Tutor Pengajian Islam Universiti Malaya) adalah tidak benar. Kerana, doa sebenarnya meminta pertolongan kepada Allah bukan kepada makhluk seperti khadam huruf “BA” yang dimaksudkan dalam makna ayat di atas. Di dalam akidah Islam, meminta pertolongan hanya kepada Allah bukan kepada makhluk. Ilmu yang berkait dengan khadam bukan berasal dari Islam dan tidak pula mengikut Sunah Rasul dan Khulafak Rashudin. Kebanyakan ilmu-ilmu khadam bahkan datangnya dari Maghribi (tempat turunnya segala sihir-sihir). Pengajaran Islam yang sebenar beriman dan mengesakan Tuhan malah mengenal Allah (MAKRIFATULLAH). Orang-orang yang memakai ilmu khadam itu termasuk dalam golongan syirik Khafi (menyengutui Allah yang tersembunyi.

Ketiga: mengikut sejarah, Tuah dibunuh oleh Panglima Kalimah di Kerian, Perak. Perak masa itu dalam pemerintahan Kedah.

Jawab: sebenarnya Tuah (bukan Hang Tuah) dibunuh oleh PANGLIMA silat cekak. Sejarah ini telah tersiar dalam Utusan Zaman ditulis sebagai ASAL USUL SILAT CEKAK oleh Masur Tobing pada 23hb. Oktober 1966. Ketika itu silat kalimah belum wujud lagi. Nampaknya Sdr Radzuan telah mencedok cerita sejarah itu.

Keempat: Kepada orang biasa diajar cuma sebanyak 12 hingga 21 buah dan dipanggil silat cekak. Kalau diajar sepenuhnya silat itu silat kalimah.

Jawab: ini tidaklah betul. Sebenarnya jika mulanya silat cekak akhirnya pun silat cekak juga. Sdr Radzuan masih belum faham apa yang dinamakan silat cekak dan sebab-sebab ia dinamakan sedemikian. Tegasnya sdr Radzuan belum tahkik mengenai ilmu silat yang sejati. Penuntut-penuntut silat cekak diajar hingga tamat (buah serang yang sebijik) tanpa mengira apa-apa martabat.

Kelima: silat kalimah tidak undur ke belakang tapi mara ke hadapan dengan geraksemula jadi (normal).

Jawab: ini adalah konsep silat cekak seperti yang tertulis delam kertas kerja silat cekak untuk Konvesyen Seni Silat Melayu di Pulai Pinang baru-baru ini.

Keenam: ‘….. dan nyata silat cekak sama saja dengan silat kalimah.”

Jawab: sebenarnya silat kalimah berpunca dari silat cekak. Cuma namanya sahaja diubah oleh Sdr. Radzuan.

Ketujuh: Parang lading adalah senjata kalimah.

Jawab: Sebenarnya parang lading adalah satu-satunya senjata silat cekak sperti yang ditulis dalam kertas kerja silat cekak di Konvensyen Seni Silat Melayu. Pemakaian parang lading adalah mengikut ukuran diri sendiri dan tidak boleh dipinjam dan diwarisi. Cara mengukur parang lading dan menyesuaikannya dengan langkah-langkah masih di dalam tangan silat cekak, bukan dalam silat kalimah. Ini jelas kerana dalam Konvensyen dahulu Silat Kalimah menggunakan lambang Kelewang (Kelantan) bukannya lading.

Kelapan: Kata-kata ‘dari hasil seni bukan sukan” dan “penggunaan nama-nama Kaedah A, B, C, D oleh silat kalimah”.

Jawab: kata-kata ini telah digunakan dalam kertas kerja silat cekak untuk konvensyen. Jelas, banyak kata dan konsep dalam kertas kerja yang saya tulis telah digunakan oleh Radzuan (palagiat telah banyak dilakukan). Malahan Radzuan telah menggunakan konsep :tangan di tempat tangan, kaki di tempat kaki” yang juga berasal dari kertaskerja silat cekak untuk menegakkan silat kalimahnya.

Kaedah silat cekak yang sebenarnya adalah seperti berikut: Buah Doa “Dipanggil ‘Sambut’, Kaedah ‘A’

Buah Pertama

Buah Keputusan Gayung Petani

Buah Kidung Kiri

Buah Kidung Kanan

Buah Paras Kiri dan Kanan

Buah Ali Patah Atas

Buah Ali Patah Sudah

Buah Kilas Belakang

Buah Sengkak

Buah Hentak (keputusan Harimau)


Buah Qiam dipanggil Kaedah Kuntau. Kaedah ‘B’

Buah Kuntau Kiri

Buah Kuntau Kanan

Buah Kuntau Jatuh

Buah Kuntau Kiri Gantung

Buah Kuntau Kanan Gantung

Buah Gari 1 dan 2

Buah Keputusan Sendeng Atas Cara Dalam

Buah Ali Patah Sudah cara ‘B’


Buah Ruku’ dipanggil Kaedah Kuntau Pukulan Bawah, Kaedah ‘C’

Buah Kilas Hadapan

Boleh juga Kilas Belakang dengan cara Kaedah ‘C’

Buah Keputusan Terlak

Buah Keputusan Lintau

Buah Tengkisan Penendang

Buah Tengkisan Tikaman Tat


Buah Takbir dipanggil Kaedah Kuntau Tengkisan, Kaedah ‘D’

Buah Hempuk

Boleh juga dibuat Buah Kuntau Kiri


Kesimpulannya silat cekak mempunyai kaedah yang teratur, boleh menengkis pukulan silat dan kuntau. Sebab itu ia dinamakanseni silat cekak (silat yang bertanggungjawab) yang suci, murni, asli, dan bukan ciptaan atau rekaan baru. Jadi nama-nama seperti “buah pasung belakang”, “pasung hadapan”, dan “Gerak Maut”, yang disebutkan oleh Saudara Radzuan dalam silat kalimahnya adalah nama-nama baharu yang direkanya. Sekarang kita kaji sejarah perkembangan silat cekak dan tarikh lahirnya silat kalimah. Silat cekak dilahirkan pada 28hb Disember 1965 bersamaan dengan 5 Ramadhan 1385 menerusi P.S.S.B Seri Kedah. Ketika itu seksi silatnya dipengerusikan oleh saya sendiri . penubuhannya dirasmikan di rumah Encik Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Nama silat cekak, buah-buah dan penangkap-penangkapnya diberikan oleh Sdr Yahya bin Said dari Taiping. Sdr Yahya mengajar silat cekak dalam Seri Kedah di dua buah kelas sahaja. Di rumah Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar dan di Alor Merah yang kemudiannya berpindah ke Telok Wan Jah di rumah Othman Ahmad, Alor Setar.

Setelah tamat kursus di kedua-dua buah kelas ini, Yahya mohon berhenti mengajar dan menyerahkan semua mandat (kuasa) dan syarat-syarat menjadi guru kepada saya untuk terus mengajar dan mengembangkan silat ini.

Pada 10 Januari 1969 Azmi dan Radzuan, dua beradik masuk belajar Silat Cekak ini dengan saya. Mereka menjadi ahli Seri Kedah di Sungai Petani, Nombor pendaftaran Azmi Long 90 dan Radzuan Long 91.

Pada 7hb. November 1969, Azmi dan Radzuan Long dipecat menjadi ahli Seri Kedah kerana dasar dan polisi mereka yang bertentangan. Tegasnya mereka menentang saya, gurunya, (bukan Sdr Yahya Said).

Pada 26hb. November 1971, mereka menubuhkan Persatuan Kalimah (bukan Silat Kalimah) didaftarkan di Pulau Pinang. Penubuhan ini dibuat apabila mereka menemuiYahya Said selepas dipecat kerana menentang saya, guru mereka berdua.

Saya telah mengembangkan silat cekak dari Kedah hingga terbentuk Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 19hb. Ogos 1971 yang didaftarkan di Selangor dan bertaraf nasional. Nombor pendaftarannya ialah 973.

Demikianlah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan Persatuan Kalimah lahir berasingan dan terserah kepada semua menentukan yang mana satu benar dan asli.

Jelas kini saya telah melahirkan silat cekak yang selama 40 tahun terpendam di dada Yahya Said tanpa diketahui orang. Saya mengenengahkannya kerana kepentingan kebudayaan Melayu, menimbulkan pusaka Melayu yang asli lagi bertanggungjawab agar mutu seni ini dapat dibanggakan. Setelah menentang guru mereka sendiri mereka masih memakai dan mengaku nilai seni itu sehingga mereka kemudian mengubah nama silat cekak itu menjadi silat kalimah. Tapi yang benar tetap benar.

Selepas dimandatkan menjadi guru silat ini saya tidak terus berpuas hati setakat itu saja. Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun, dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar pula dengan peraturan agama Islam.

Saya membuat kesimpulan bahawa seni silat cekak ialah seni silat bukan silat semata-mata. Perbezaan seni dengan bukan seni adalah sangat jauh laksana bumi dengan langit.semua cabang seni seperti seni sastra, seni tari, seni lukis, seni suara, seni dalam kajian filsafat serta Sufi dan seni silat masing-masing mempunyai bakat yang tersendiri.

Bakat seni silat ialah keras lembut yang bermaksud tetap pendirian bukan degil. Lemah lembut pada zahirnya bererti tidak bongkak (ego) dan menerima kebenaran. Tetapi akan berkeras untuk menegakkan yang hak. Bakat asli ini jika diasuh dan dididik akan mencapai keistimewaan, tetapi yang tidak berbakat tetapi ada kemahuan hanya mencapai sekadar ‘dapat’ sahaja.

Konsep seni silat mestilah dibezakan dengan sukan . dalam hubungan ini segala kajian silat mempertahan diri yang tidak bertaraf seni dipanggil silat yang bertaraf sukan. Seni silat dan sukan sama-sama mempunyai pergerakan antara kedua jenis ini sangat jauh bezanya. Seni silat bergerak secara halus sejajar dengan pergerakan semula jadi (normal) dan sememangnya sesuai dipanggil seni. Manakala pergerakan silat jenis sukan bergerak bukan cara normal (pergerakan yang dibuat-buat)

Adalah silap kalau dikatakan jenis pertahanan diri yang diimport dari luar sebagai satu hasil seni kerana pergerakan mereka berdasarkan gerak kasar (bukan normal). Tegasnya jenis pertahanan diri ini tergolong dalam sukan dalam mana kekuatan menjadi ukuran. Pergerakan seni silat adalah halus. Ahli-ahli seni silat yang asli memahami pergerakan halus (BERDENYUT dalam istilat silat), berdasarkan pergerakan yang menurut bukan membangkang. Pergerakan yang membangkang memerlukan tenaga yang kuat justeru ia sejenis sukan. Ahli seni silat yang sebenar boleh menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga darinya dengan kaedah yang bijaksana. Cuma silat cekak sahaja yang mempunyai sifat-sifat demikian.

Saya telah mengkaji perkataan ‘cekak’ ini dengan mendalam. Saya pasti perkataan cekak ini bertalian erat dengan tatatbahasa Melayu “makan cekak’ yang bermakna kesanggupan serta bertanggungjawab dalam menjalankan sesuatu tugas. Dalam bahasa Bawean cekak bererti keras. Silat Cekak bererti silat keras atau lebih tepat tetap pendirian dan sanggup bertanggungjawab. Dalam bahasa Minangkabau, cekak bererti “bergaduh” iaitu dari perkataan “BERCHAKAK”. Jadi silat cekak bererti silat yang boleh dibawa bertarung untuk mempertahankan diri. Jelas, dari segi asas perkataan, cekak sesuai dikaitkan dengan seni mempertahankan diri yang bertanggungjawab. Maka itu ia dinamakan silat cekak.

Perkataan asal “cekak” ini dikaitkan pula dengan praktikalnya, yang mengkaji pergerakan. Jadi pada lahirnya sesuai dinamakan silat cekak dan pada batinnya (hakikatnya) silat gerak. Ini sejajar pula jika dikira huruf jawi bagi kedua-dua perkataan itu: cekak (, , ) dan gerak (,, ), sepadan pula dengan perkataan itu Quran (lahir) dan Furkan (hakikatnya)

Jadi seseorang yang mempelajari silat cekak mesti sampai pada pengertiannya kepada pergerakan baharulah tahkik pada ilmu silat yang sebenarnya. Jika tidak ia hanya dapat kulit sahaja. Sesudah tahkik seseorang itu maka baharulah ia sampai kepada GERAK yakni makan segerak (makan gerak dalam gerak) dan dapat menentang musuh sama ada yang dapat dilihat atau tidak, disedari atau tidak terang atau dalam gelap. Bila peringkat ini dicapai baharulah ia sampai ke MAKAN GERAK. Bukan makan cekak cara belajar buah 12-21 seperti yang diterangkan oleh Sdr Radzuan . Faham akan semua peringkat, baharulah seseorang itu layak menjadi penganjur, dan pemimpin silat yang sebenarnya. Jika sekadar sampai pada kulit silat sahaja tanpa ruh silat yang sejati ia tidak layak menerima warisan pusaka. Jika diterima juga ia dianggap perampas kerana tidak mempunyai peribadi amanah . Bila sudah ada amanah dan peribadi keimanan yang sejati baharulah ia layak menjadi GURU.

Jika tidak maka guru itu ibarat kencing berdiri, murid kencing berlari. Pelajar dengan guru demikian bermakna seseorang itu akan menjadi bertambah jahat, bongkak dan sombong. Sebaliknya guru yang sebenar guru (murshid) mempunyai telatah dan peribadi yang tinggi, boleh memimpin ke jalan yang diredhai Allah.

Di dalam peraturan silat cekak konsep ini jelas diutarakan. Pertama perpaduan dengan guru yang sebenar-benarnya guru (murshid), bukan yang fasik dan munafik. Kedua, perpaduan dengan ibu bapa (rumah tangga) yang telah melahirkan kita. Ketiga, perpaduan sesama ahli silat, bukan untuk berpecah belah. Keempat, konsep terhadap masyarakat umum khasnya seluruh masyarakat silat Melayu yang benar-benar asli.

Saya juga telah menganalisa amalan dan buah-buah seni silat cekak itu sendiri. Mungkin anasir luar ada tersadur di dalam silat itu hingga bercanggah tujuan asal ilmu silat ini dengan akidah agama islam khususnya. Jadi saya mengekalkan amalan-amalan yang sesuai dengan asas Islam dan membuang segala yang bertentangan. Saya mempunyai alasan-alasan yang sesuai dan praktikal untuk mengenepikan pemakaian beberapa buah yang agak bertentangan dengan tujuan menuntut ilmu silat.

Buah Rasa dan Pecahan dari Keputusan Gayung Petani (Buah Pusing tangan) telah diketepikan kerana buah-buah tersebut adalah seperti buah silat untuk permainan (pulut) sahaja. Buah Sengkak tidak dipakai kerana membahayakan diri orang yang menggunakannya. Buah Keputusan Sending Bawah Kiri dan Kanan ditinggalkan kerana dipandang sia-sia (memakan waktu). Buah Kedung Kanan didapati sama dengan Kuntau Kanan gantung pemakannya. Anihnya terdapat sejenis buah dalam cekak yang dinamakan Buah Kusyen. Buah ini sungguh pantas dan boleh digunakan di tempat-tempat yang sempit dan dicorok-corok ruang. Ia boleh digunakan semasa duduk di atas kusyen kereta. Jika diserang dalam kereta insya-Allah penyerang itu akan tertewas. Sebab itu ia dinakan Buah Kusyen (sebelumnya buah ini tidak bernama).

Dengan penjelasan dan bukti-bukti yang dibentangkan di atas maka sewajarnyalah seni silat pusaka bangsa ini dinamakan silat cekak kerana pada hakikatnya seni silat cekak itu silat gerak, satu silat lojik. Mengubah nama silat cekak itu kepada nama-nama lain seperti silat kalimah bererti penyelewengan dalam perwarisan pusaka Melayu asli. Sudah cukup jelas bahwa silat kalimah itu adalah silat cekak.

Kepada yang tidak puas hati dengan penjelasan ini, dapat kiranya berhubung dengan ibu pejabat Persatuan Seni Silat Cekak, 32 Jalan Hj. Sirat, Kampung Baharu, Kuala Lumpur untuk keterangan lanjut.



Jumaat, April 08, 2011

Tuan Hussain Kedah



Tuan Hussain Kedah atau nama sebenarnya Hussain bin Nasir bin Muhammad Taib dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar pada 2 November 1863 bersamaan 20 Jamadilawal 1280 Hijrah. Beliau berasal daripada keluarga ulama yang tinggal di Kalimantan. Pada sekitar tahun 1841, Haji Mas´ud, datuk kepada Tuan Hussain singgah di Sungai Kedah dalam perjalanan pulang ke Kalimantan dari Mekah.

Pada kesempatan tersebut Haji Mas´ud telah memainkan peranan penting membantu kerajaan Kedah dalam perang menentang Siam. Bagaimanapun, Haji Mas´ud telah terkorban dalam peperangan itu pada tahun 1842. Melihat keadaan itu, anaknya, Muhamad Taib dan ahli keluarga yang lain telah mengambil keputusan untuk menetap di Kedah demi mencari kehidupan baru. Kelahiran Tuan Hussain dalam keluarga ini terus memberi sinar, khususnya dalam perkembangan dakwah Islamiah. Apatah lagi, keluarga Muhamad Taib terdiri di kalangan warisan ulama.

Dalam sejarah perjuangannya, Tuan Hussain merupakan seorang penulis kitab-kitab agama yang terkenal di Nusantara. Tokoh ini telah menghasilkan 18 buah kitab mengenai fiqh, tauhid, dan tasawuwf. Dalam mendidik ummah setempat pula, Tuan Hussain mengajarkan tulisan jawi serta mendirikan pondok sebagai institusi pendidikan.

Beliau mendirikan sekolah pondok di beberapa kawasan di Kedah dalam usahanya mengukuhkan pendidikan Islam. Antara tempat-tempat tersebut ialah di Bohor, Selengkoh, Padang Lumat serta di Pokok Sena, Seberang Perai. Satu perkara yang menarik tentang tokoh ini ialah sistem dan disiplin yang diterapkan dan dilaksanakan dalam mengendalikan sekolah yang diasaskannya. Kawasan institusi pendidikan itu dilengkapi surau. Manakala rumah-rumah pondok (tempat penginapan) pelajar dibina secara tersusun. Untuk mereka yang berkeluarga pula, dibina pondok di dalam kawasan sekolah. Manakala untuk pelajar bujang didirikan pondok di kawasan luar.

Para pelajar Tuan Hussain terdiri daripada remaja belasan tahun hinggalah kepada orang tua yang berumur 50 tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar tempatan. Bagaimanapun, ada juga yang datang dari Sumatera, Patani, dan Brunei. Hal ini menunjukkan betapa pengaruh pendidikan institusi pondok Tuan Hussain begitu meluas.

Meskipun sistem perhubungan pada waktu itu amat sukar lantaran institusi pendidikan belum banyak didirikan oleh pihak kerajaan (penjajah), namun cabaran ini telah menyemarakkan semangat Tuan Hussain. Pada waktu itu pelajar digalakkan bekerja sendiri bagi menampung kehidupan. Sebahagian daripada mereka menjalankan usaha bersawah padi bersama-sama penduduk tempatan.

Tuan Hussain menetapkan jadual belajar yang tekal untuk pelajar-pelajarnya. Beliau akan mengajar bermula dari tengah hari hingga ke petang. Waktu pembelajaran tersebut merangkumi sembahyang Zuhur dan Asar secara berjemaah. Manakala pembantu-pembantu Tuan Hussain akan mengajar pada waktu malam.

Jadual yang disediakan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar pondok itu mencari nafkah kehidupan pada waktu pagi. Jadi, waktu tengah hari dan malam hanya masa untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

Pondok Tuan Hussain semakin mendapat sambutan hebat daripada pelajar. Pada satu ketika terdapat lebih 50 buah pondok didirikan di satu-satu lokasi. Menyedari keadaan itu, Tuan Hussain memperkenalkan asrama (rumah panjang) yang berupaya didiami oleh bilangan pelajar yang ramai.

Dalam satu-satu musim pengajian, pondok ini mempunyai lebih daripada 400 orang pelajar dan angka ini ada kalanya mencapai lebih 1000 orang. Demikianlah bukti kejayaan, hasil kegigihan Tuan Hussain yang sukar bagi sesiapa untuk menafikannya.

Selain mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tuan Hussain dan pembantunya, para pelajar membaca kitab-kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain sendiri. Mereka juga turut merujuk kepada nota-nota yang disalin oleh pelajar-pelajarnya yang terdahulu.

Terdapat 18 buah kitab yang ditulis oleh Tuan Hussain. Kitab tersebut turut digunakan di seluruh Nusantara, baik melalui penerbitan mahupun yang dibawa oleh bekas pelajarnya yang datang dari seluruh pelosok Alam Melayu. Antara kitab tersebut ialah al-Nur al-Mustafid fi Aqaid Ahi al-Tauhid (1887), Tamrin al-Sibyan (1809), Hidayat al-Sibyan (1911), Hidayat al-Mutafakkirin (1918), Kasr al-Iksir (1920), Hidayat al-Talibin (1924), Tadrih al-Sibyan (1926), dan banyak lagi.

Jelaslah bahawa tokoh ini, selain memberi kuliah, beliau juga menulis, bahkan menurunkan ilmunya dalam bentuk dokumen yang amat berharga. Semua itu dapat diwariskannya hingga ke hari ini. Pastinya tokoh ini mempunyai disiplin masa yang begitu tersusun dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Berdasarkan kepada keampuhan ilmu agama yang dimiliki oleh Tuan Hussain dalam bidang fiqh, tauhid, dan tasawuf, beliau mendapat perhatian daripada pihak Istana Perak. Tokoh ini mendapat undangan mengajar di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Beliau juga ada mengajar di masjid di Teluk Intan dan Parit. Sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat amat memberangsangkan.

Selain itu, beliau juga telah menterjemah kumpulan hadis Jawahir al-Bukhari. Terjemahan itu kemudiannya dibukukan dan dinamakan Tadzkir Qabail al-Qadhi (1923). Tegasnya, tokoh ini arif dalam ilmu al-Quran dan hadis, iaitu ilmu asas yang penting dalam Islam.

Sewaktu kecil, Tuan Hussain mendapat bimbingan agama daripada datuk beliau, Muhamad Taib. Kemudian berangkat berangkat ke Patani dan berguru dengan Tuan Semela di Pondok Uala´. Tokoh ini turut berguru di tempat-tempat lain seperti Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, dan Melaka. Akhirnya, Tuan Hussain menyambung pengajian di Mekah.

Ketika berada di Tanah Suci, Tuan Hussain mengambil kesempatan untuk berguru dengan para ulama terkenal termasuklah Tuan Syeikh Hasbullah, Tuan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Syeikh Ahmad Lingga, Tuan Syeikh Umar Sumbawa, Tuan Syeikh Muhammad Khafat, dan Tuan Syeikh Umar Bali.

Di sana, Tuan Hussain bertemu dengan ramai sahabat, antaranya Tok Kenali dari Kelantan, Haji Wan Sulaiman Sidik, dan Tuan Haji Yaakub Sik dari Kedah. Sekembalinya dari Mekah kira-kira pada tahun 1896, Tuan Hussain terus membuka pondok pengajian bagi memberi bimbingan kepada penduduk tempatan. Ketika itu beliau berusia dalam lingkungan tiga puluhan.

Antara murid-murid Tuan Hussain yang terkenal ialah Datuk Haji Abdul Rahman Haji Abdullah, Haji Ismail Sulaiman, Haji Omar Merbok, dan Haji Ghazali Haji Arshad. Tradisi ilmu yang diasaskan dan dibina oleh Tuan Hussain ini terus dikembangkan oleh murid-muridnya. Selain itu, sebahagian institusi pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussain masih kekal sehingga sekarang. Antaranya ialah Pondok Padang Lumat, Kedah dan Pokok Sena, Pulau Pinang.

Tuan Hussain amat tegas dalam pendirian, terutama dalam perkara halal dan haram. Tokoh ini berpegang teguh kepada al-Quran dan hadis tanpa kompromi. Pendirian yang sedemikian ini kadangkala kurang disenangi oleh pihak pemerintah yang mahu bertolak ansur.

Antara pendirian Tuan Hussain, beliau tetap mengharamkan sebarang bentuk perjudian sebagaimana tuntutan agama. Manakala wang zakat mesti diterima oleh golongan yang berhak dan tidak boleh diagihkan sesuka hati. Tetapi apabila hal berkenaan dijelaskan oleh Tuan Hussain berdasarkan kepada pegangan Islam, pemerintah dan rakyat dapat menerimanya. Mulai saat itu, beliau sangat disegani dan dihormati dalam mengendalikan hal ehwal agama Islam.

Tokoh ini meninggal dunia pada tahun 1936 dalam usia 73 tahun. Pada awalnya pihak istana Kedah berhasrat untuk mengebumikan jenazah Tuan Hussain di Makam Diraja Kedah yang terletak di Langgar. Bagaimanapun, Tuan Hussain telah mewasiatkan kepada isterinya, Hajah Mariam, supaya jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya di Titi Gajah.

Tuan Hussain meninggalkan bukan sekadar khazanah ilmu yang ditulisnya dalam 18 buah kitab sebagaimana yang telah disebutkan, tetapi juga meninggalkan tradisi institusi sekolah pondok yang kekal sehingga kini.

Selain itu, Tuan Hussain juga meninggalkan kira-kira 150 relung tanah untuk anak cucunya dan ada di antara tanah tersebut yang telah diwakafkan untuk tujuan dakwah Islamiah. Tradisi pondok Tuan Hussain yang memulakan sistem pengajian tersusun itu mendapat perhatian daripada sarjana tempatan dan luar negara.

Dalam kalangan para sarjana yang melakukan kajian, mendapati bahawa Tuan Hussain lebih dikenali dengan nama Tuan Hussain Kedah. Nama gelaran yang selalu digunakan ialah Tuan Hussain Nasir ibni Muhammad Taib al-Mas’udi.

Isnin, April 04, 2011

Dunia Kini

Ragam- ragam kehidupan manusia kini..
Orang KAYA dengan perangai KAYAnya..
Orang MISKIN dengan perangai MISKINnya..
Orang berPANGKAT dengan perangai PANGKATnya..
Orang LEMAH dengan perangai LEMAHnya..
Orang berILMU dengan keILMUannya..
Orang JAHIL (bodoh) dengan perangai BODOHnya..


KESIMPULANNYA.. Inilah punca pepecahan dan berpuak2 dengan aneka ragam yang akhirnya menjadi penyakit sosial/hidup.. lalu jadilah penyakit hati.. (iaitu penyakit jiwa)

DARI MATA TURUN KE HATI,
TAK KENAL MAKA TAK CINTA,
LAIN DI MULUT LAIN DI HATI,
WALAUPUN BEGITU ADAT BERKASIH HENDAKLAH SETIA.

Untuk menghindarkan punca penyakit sosial/hidup yang membawa kepada penyakit hati. Kita hendaklah membawa sifat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan duduk sama tinggi, berdiri sama rendah.

Maksudnya di sini ialah kita saling hormat menghormati. Paling penting hubungan antara Guru, Ibu dan Bapa hendaklah dijaga dan diamalkan. Kerana pada guru adanya berkat, pada ibu adanya keramah dan pada bapa pula adanya hikmah.

Begitu juga hubungan dengan masyarakat, hendaklah mengamalkan dasar berkasih sayang dengan menjaga perhubungan yang harmoni yang melibatkan tindakan perbuatan dan kata-kata yang lahir dari hati yang bersih lagi suci.

Kerana kita telah di beri oleh tuhan 3 unsur utama iaitu akal, nafsu dan hati. Tepuk dada tanyalah hati. Pilihlah satu antara 3 jalan iaitu:-
1)JALAN YANG DI BERI RAHMAT
2)JALAN YANG DIMURKAI
3)JALAN YANG SESAT

"hai orang2 yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (NYA) dan Ulul Amri di antara kamu, kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah ia kepada ALLAH (al-quran) DAN Rasul (sunnahnya). JIka kamu benar2 beriman kepada ALLAH dan hari kemudian yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya"
(an-nisaa': ayat 59)

DAJJAL vS AL MAHDI

Dari sudut bahasa, Dajjal ertinya pendusta agama atau penipu agama yang kerjanya menyesatkan manusia diatas jalan akidah agama dengan berbagai watak menurut masyarakat semasa dan setempat.

Menurut huraian Ulama' Rahimahumullah, Dajjal kecil telah lama muncul sejak dari lahirnya Nabi Muhammad SAW, bahkan telah wujud zahir pada zaman nabi-nabi dan rasul terdahulu (istilah lain dari bahasa Arab) dengan kehebatan tersendiri dari perkara-perkara aneh hingga mistik? dan telah berjaya menyebabkan huru-hara serta kerosakan dalam masyarakat.

Nabi Muhammad SAW adalah Nabi besar akhir zaman (Dajjal besar juga muncul pada akhir zaman), sesuai dengan Rasullullah SAW sebagai penghulu segala nabi. Ini bererti akhir zaman telah berusia 1431 tahun Hijrah + 52 tahun umur nabi ketika berlaku hijrah Mekah ke Madinah.

Allah Azza Wajalla telah berfirman di dalam Al-Quran akan keadaan kiamat dengan menyebut lebih dari 30 istilah kiamat yang antaranya ialah keadaan huru-hara. Kejadiannya pula seperti gunung-ganang berterbangan bagai debu, air laut berkocak menjulang tinggi menghempas daratan, langit seperti digulung, keluar asap hitam dari perut bumi, kubur-kubur terbongkar dan lain-lain lagi. Keadaan bencana alam yang berlaku seperti itu sekarang ini, telah pun ada pernah berlaku banyak kali sejak beribu tahun. Yang ini dinamakan kiamat kecil? Atau besar? Kiamat lebih besar pula akan terjadi dengan datang zahir nyata Dajjal besar. Para Ulama' Rahimahumullah As-Sunnah waljamaah bersepakat tidak menyenaraikan ketibaan Dajjal besar sebagai satu daripada tanda kiamat akhirat melainkan orang Syiah sahaja? Kiamat akhirat pasti terjadi sekonyong-konyong pada ketikanya dengan perintah Allah sedang tiada diberitahu kepada sesiapa melainkan sedikit . . . .
Siapakah Dajjal kecil dan siapa pula Dajjal besar.

VS

Dari sudut bahasa al-Mahdi (Imam Mahdi) ertinya orang yang mendapat petunjuk di jalan yang benar lagi lurus serta membawa kebenaran – pembimbing yang dibimbing – ada Quran didadanya berisi Furqan (meleraikan yang Haq dan yang Bathil) sedang tersembunyi didadanya ada Qurqan (isi rahsia – Sir – rahsia hati). Nabi-nabi dan rasul terdahulu juga digelar yang sama dengan istilah lain dari bahasa Arab, membawa Dzabur, Taurat, Injil dan ada juga Suhuf.
Semua makhluk mendapat petunjuk dari Allah jua.
Adalah kita manusia maka bicara ini tentang manusia jua.
1. Petunjuk tabi’in – semulajadi.
2. Petunjuk pancaindera – tahu.
3. Petunjuk aqli – akal fikiran.
4. Petunjuk ilmi – belajar berilmu.
5. Petunjuk lurus lagi benar – Sir – rahsia – Sirathal Mustaqim.

Maka pada akhir zaman orang yang mula digelar al-Mahdi ialah Nabi Muhammad SAW sendirinya. Sehinggalah baginda wafat kemudiaanya diwariskan oleh para sahabat di zaman khalifah dan terus bersambung warisnya sepanjang zaman oleh para sahabat yang juga digelar Pewaris Nabi.

Patah tumbuh hilang berganti.

Watak baginda Nabi SAW adalah bersesuaian dengan masyarakat semasa setempat yang kemudiannya disebut sebagai sunnah – diterima seluruh dunia Islam. Maka sunnah yang bererti perbuatan (amal/af’al) terdapat dua bahagian.
Sunnah umum seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, keluarga, masyarakat, budaya dan sebagainya bersesuaian dengan masyarakat Arab ketika itu – yang kemudiannya dibaik pulih dengan akhlak Nabi lalu dinamakan cara hidup Islam.
Sunnah khusus pula adalah teknik dan taktik melaksanakan Rukun Islam yang 5 berteras 6 Rukun Iman seperti mana telah disyariatkan Allah dan dilaksanakan, ditunjuk ajar, digaris panduan oleh baginda Nabi sebagai syariat Islam yang diwarisi para sahabat.
Siapakah Pewaris Nabi – Imam al-Mahdi.

Setiap makhluk adalah berpasangan seperti lelaki/perempuan, siang/malam, hidup/mati, kahwin/cerai, kaya/miskin, Sir/Sihir, jin(iblis)/ma’laikat, Haq/Bathil dan bermacam lagi. Hanya satu yang tidak berpasangan, tiada bandingan ialah Allah – Tuhan Rabbul Jalil Fil ‘a lamin yang Esa. Satu ertinya kaya sahaja tidak ada miskin/kekurangan, kuat sahaja tiada lemah, hidup sahaja tiada mati, kasih sayang sahaja tiada zalim, betul (Haq) sahaja tiada salah (Bathil) dan lain-lain lagi berjumlah 99 yang disebut dalam Asma’ul Husna wa Sifat. Maha suci Allah dari sebarang anasir – ma’rifat Allah (mengenal) dengan zatNya sendiri jua.

  • Dajjal kecil atau besar sama sahaja sifatnya – itulah tipu daya jelmaan iblis yang dizahirkan maanusia Islam. Diantara perangai buruknya seperti rakus, sombong meninggi diri, menggunakan agama untuk mencapai cita-citanya. Dia ada dimana-mana – persatuan masyarakat Islam, pertubuhan, perniagaan, politik, pihak berkuasa undang-undang dan dimana sahaja ada orang Islam. Harta, Tahkta, Wanita menjadi matlamat kemewahan, keindahan dunia untuk memikat hati manusia Islam supaya mempercayainya. Dajjal mencari kemuliaan atas jalan agama dengan menjual ayat Allah apabila berdakwah dan menfatwakan niat yang baik menghalalkan cara? Dajjal mengubah maksud Al-Quran mengikut kepentingan dirinya dan membuat tipu daya keatas orang Islam yang mengangkatnya sebagai pemimpin. Mengadu domba supaya bergaduh berselisih sesama maanusia kononnya diatas jalan agama. Mengisytiharkan perang syahid diatas jalan keganasan dengan membunuh menumpahkan darah. Menjual syurga Allah dan bermacam kredit bagi orang yang berjuang?
  1. Dajjal kecil sewaktu tiada pengikut dan menjadi Dajjal besar apabila ramai yang menyokongnya dan menjadi pengikut.
  2. Contohnya – seorang yang bertanding pilihanraya tidak akan menjadi orang besar seandainya tidak mendapat undi besar . . . .?
  3. Sebahagian maanusia Islam menjadi pengikut Dajjal tanpa ilmu pengetahuan agama kerana jahil, sebahagiannya munafik, yang lain pula fasik, tidak kurang juga yang syirik. Ada juga menjadi part-time Dajjal . . .? (kecil) atau full-time Dajjal . . .? (besar).
  4. Seandainya Dajjal hadir dengan wajah hodoh bermata satu lagi mengerikan pandangan mata tentulah maanusia akan lari darinya!!
  • Pewaris Nabi (al-Mahdi) menggunakan harta, takhta, wanita hanya sebagai alat keperluan hidup didunia. Orang ini mendapat keperluannya mengikut garis panduan syariat Islam dan bersederhana. Kemudian menggunakan rezeki halal itu untuk berdakwah bermacam cara tanpa meminta upah seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW serta diwarisi para sahabat.
  1. Perang (Jihad) yang diisytiharkan bermaksud memerangi hawa nafsu keinginan, membunuh idealogi kefahaman jahiliyah, tahyul dan kurafat serta bida’ah dengan cara bijaksana. Perang membunuh menumpahkan darah hanya berlaku dengan perintah Allah jua. Sentiasa rindukan kasih sayang, cintakan keamanan sejagat bermula dari dalam diri sendiri setiap maanusia umumnya dan khasnya orang Islam.
  2. Dikalangan para nabi dan rasul terdahulu juga telah ada yang dibunuh oleh kaum/bangsa mereka sendiri. Sifat baginda Nabi adalah siddiq (benar), amanah (jujur), tabligh (sampai), fathanah (bijaksana).
  3. Sifat sahabat pula adalah siddiqin (yang membenarkan), solihin (yang berakhlak baik), syuhada’ (yang berjuang). Penampilan ini digunakan oleh Dajjal sedangkan Pewaris Nabi sendiri tidak menonjolkannya.
  4. Berbahagialah maanusia Islam yang menjadi pengikut pemimipin ini dengan kurnia rahmat, ni’mat Allah jua.
  5. Tentu tidak ada sesiapa yang berani mengaku dirinya Dajjal – maka sudah tentu Pewaris Nabi juga tidak melakukannya. Jika ada yang membuat pengakuan sebagai Pewaris Nabi bermakna dia menempah neraka . . . . Itulah Dajjal (iblis) yang mengaku sebagai pengganti.
Telah lahir Ulama' yang jahat
Telah lahir ahli ibadat yang jahil
Jangan jadikan ibadat sebagai alat
Murnikan hatimu dalam beribadat sebagai kebajikan (sadaqah) bagi diri sendiri keluarga, kaum kerabat, jiran tetangga, masyarakat, bangsa dan Negara seterusnya seluruh dunia.


Wasiat
Anak Angkat Ustaz Hanafi

SUMBER RUJUKAN DARI http://rijalul-ghaib.blogspot.com/ BERTARIKH 24 NOVEMBER 2010.


Isnin, November 22, 2010

Fahaman Kebatinan Hanafi

Melalui Haji Zain dan pada mulanya dari Pak Ngah Syarif, Hanafi dapat memutuskan fahaman kebatinannya ( iktikad, pegangan hati ). Yang dimaksudkan dengan fahaman kebatinan itu ialah membersihkan hati atau menghilangkan sakit jiwa, seperti tubuh boleh berpenyakit (risau, sombong, gila pangkat dan lain-lain lagi ). Penyakit jiwa ini mesti dibuang supaya roh dapat berhubung dengan Allah Taala dengan tenang dan khusyuk. Dengan ini jiwa akan merasa tenteram dan aman dalam dunia ini. Setelah roh mendapat sejahtera tubuh juga akan beroleh kesejahteraan dan dapat mencapai kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

Tujuan besar menghilangkan sakit jiwa supaya roh jangan ditakluki oleh hawa nafsu. Hidup di dunia ini adalah bertuhankan Allah sahaja. Tidak takut menghadapi kenyataan, susah senang dirasakan aman sahaja kerana hidup, mati, rezeki telah ditentukan oleh Allah. Manusia setakat berusaha saja, hasilnya adalah dari Allah.

Menurut pegangan Hanafi hanya pada tempat tuhan bergantung dan Nabi Muhammad sebagai ikutan dan pedoman. Lain dari yang dua ini, Hanafi tidak menghiraukannya, umpamanya kepada wali-wali Allah, kerana seseorang yang menjadi wali Allah itu dikurniakan oleh Allah, jadi sesiapa sahaja boleh menjadi wali Allah asalkan ia seorang yang kuat keyakinan dan teguh pendirian kepada Allah.

Dengan fahaman inilah dapat mententeramkan hatinya, fikiran dan memancar cahaya perjuangan didalam hidupnya. Fahaman iktikad yang diamalkan ole Hanafi ialah Iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu yang mengikut sunnah ( perjalanan ) Rasullulah s.a.w. dan sahabat-sahabat Rasullulah s.a.w.

Sumber: Tesis "Hanafi dan Silat Chekak" ms 27

Sabtu, Julai 17, 2010

Kisah Lembu

Al sejarah yg terpendam pada zaman Al Marhum Ustaz Hanafi. Ketika Ustaz Hanafi akan mengajarkan silat cekak pada zahirnya dan akan menyambung 'SAKA MUHAMMAD' di Kedah, berlaku perselisihan faham di antara beliau dengan Al Marhum Pak Hj Zain, iaitu Guru beliau.

Kata Pak Hj Zain, "mana ada orang bawa ugama atau bawa ilmu Ketuhanan bergaduh". Lalu dijawab Ustaz Hanafi, "tu lembu yang dah pi masjid tak pa dah, yang saya nak ajar ni lembu yg tak mau pi masjid. Depa tu kita kena belasah baru dia mau dengar kata". Ustaz Hanafi dan Gurunya Pak Hj Zain adalah pengembala ......

Ada juga ahli silat Cekak Malaysia yg dulunya lembu, setelah belajar lama dan taat telah "diangkat" sebagai pengembala juga. Adakah kita kenal sifat pengembala???

Apa itu pengembala???

Jumaat, Mei 07, 2010

Melayu Mudah Lupa

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa

Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Melayu mudah lupa
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai

Dibacakan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di akhir ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 23 Jun, 2001.