Isnin, Mei 11, 2009

Korban

Korbankan minda,
Korbankan hati,
Satukan di jiwa,
Tangkis apa nafsu menyusu,
Tauhidkan di taman lubuk hati,
Agar mekar semerbak kasturi,
Saat ketika ia datang,
Membawa panduan untuk dipatuhi,
Petunjuk benar lagi benar didatang,
aku gembira melihat aku,
Aku kenal siapa aku,
hatiku dipaku terkaku,
Rahmat Tuhan redhanya aku,
korbankan segala ada,
Untuk bersyukur dan memohon ampun,
Taat dibawa sampai ada,
Lurus berdiri mengadap Maha Pengampun,
Cukupkah pengorbanan daku,
Aku tiada upaya seberat habuk,
Nak dibandingkan aku longlai, lupa terpaku,
Sebab aku tiada kuasa sebesar habuk,
Hidup matiku dengan Allah kerana Allah kepada Allah dan dari Allah.

Nukilan : Sungaijiwa , Al Mizhar - Dubai
Jam 1.52 ptg , 07/12/08

Bicara Kehidupan

“UNTUK masuk ke syurga tidak susah,” ujar kawanku seorang penulis yang banyak bicara tentang tabiat manusia.
“Bagaimana caranya,” tanyaku.
“Hanya dengan memberi minum seteguk air pada seekor anjing yang sedang kehausan,” katanya.
Aku termenung mendengar kata-kata itu. Betapa tinggi nilainya falsafah kehidupan yang terkandung dalam susunan serangkap ayat.
Kenapa mesti anjing. Kenapa tidak rusa, kijang atau kuda, fikiranku mengulangi
Kata-kata yang diluahkan oleh rakanku tadi.
Sedangkan hukum mengatakan anjing itu najis. Anjing adalah antara binatang yang terhina,
Tetapi Tuhan menjadikan anjing. Bererti Dia merelakan adanya anjing. Malah anjing dijadikan umpama bagi seseorang itu untuk masuk syurga.
Apatah lagi kalau anjing itu manusia. Sesungguhnya kata-kata yang keluar dari manusia yang hina dan dinista adalah kata-kata hikmat yang mampu mengubah dunia.
Di sini tuhan anjing adalah Makhluknya. Di sini manusia anjing itu najis. Tetapi najis pada zahirnya. Pada batinnya bagaimana?
Bagaimana kejadian anjing dengan kejadian manusia? Kukira kejadiannya serupa. Tidak akan lahir seekor anjing kalau tiada jantan dan betina.
Apakah manusia itu anjing? Sudah tentu tidak. Jadi manusia itu apa? Inilah persoalan yang masih ku cari jawapannya. Aku masih belum ketemu manusia ini siapa. Yang jelasnya aku ini siapa. Aku bukan anjing.
Aku adalah aku. Anjing itu adalah anjing.
Kukira anjing itu tidak perlu tahu dirinya siapa. Hanya manusia saja yang perlu mencari jawapannya. Manusia lebih mulia daripada anjing kerana mencari dirinya. Segala tindak tanduk manusia tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencari rahsia diri.
Tetapi mana hendakku cari. Aku pasti menjadi sesat kalau aku terus mencari. Bagaimana hendakku cari benda yang tiada kesudahan, yang tiada pangkal dan tiada hujung.
Tetapi yang jelas pada anjing aku tidak harus memandang hina. Apatah lagi pada manusia kerana manusia ini mengandungi rahsia. Rahsia yang sukar diungkapkan.
Kukira manusia ini terlalu angkuh pada diri, menganggap dirinya saja mulia. Begitu juga aku, masih ragu untuk mengaku anjing itu aku.
Sebenarnya anjing itu, tetapi aku harus mengumpul kekuatan untuk menganggap anjing itu aku.
“Ya tuhan! Aku tidak mengatakan anjing itu aku, selagi aku tidak mengetahui siapa aku.”
Aku rasa orang yang masuk syurga kerana memberi seteguk air kepada anjing yang kehausan adalah kerana dia mampu memandang anjing itu dia. Kerana dia tahu siapa dia.
Bagaimana dengan aku yang masih meraba-raba mencari aku.

Dari: Pak Syeikh Al-Langat