Sabtu, Disember 31, 2011

Pak Hussin Di Kedah

Semasa di Kedah, Pak Hussin telah membuka Kedai Dobi di Pekan Rabu, Alor Setar. Manakala Ustaz Hanafi menjual ubat dan Pak Haji Zain pula menjual kitab di kedai yang bersaiz kecil. Sebelum buku-buku dan kitab-kitab hendak dijual, Pak Haji Zain terlebih dahulu membaca buku-buku dan kitab-kitab itu.

Di Pekan Rabu ini Pak Hussin telah berkenalan dengan Pak Haji Zain. Selalunya kalau ada masa terluang atau pun habis kerja Pak Hussin akan ke kedai Pak Haji Zain untuk sembang-sembang, mentelaah dan membaca kitab-kitab. Di samping itu kadang-kadang Pak Hussin juga menolong Pak Haji Zain menyemak dan betulkan (edit) setiap kesalahan dan kesilapan yang terdapat di dalam kitab. Sekiranya terdapat banyak kesalahan dan kesilapan pada mana-mana ungkapan dan baris , kitab itu akan di 'ban' dan tidak akan dijual kerana itu adalah 'TANGGUNGJAWAB'.

Namun begitu Ustaz Hanafi tidaklah serasi dengan Pak Haji Zain pada ketika itu walaupun dia kenal Pak Haji Zain. Malah Pak Hussin pernah mengajak Ustaz Hanafi bersembang-sembang dengan Pak Haji Zain tetapi Ustaz Hanafi menolak pelawaan itu. " Lebai Putaq Alam..." kata Ustaz Hanafi.

Sebelum dipanggil dengan gelaran 'Pak Haji', Pak Haji Zain dipanggil dengan gelaran 'Lebai' (orang yang kemudian panggil 'Pak Haji') . Di Kedah pada masa itu dia digelar 'Lebai Putaq Alam' kerana sikapnya yang 'loyar buruk'.

Rabu, Disember 28, 2011

KISAH USTAZ HANAFI DI JERANTUT

Umum mengetahui Ustaz Hanafi pernah merantau satu Tanah Melayu. Malah beliau pernah singgah ke Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Tiada cerita khusus mengenai beliau semasa di Jerantut.

Cerita dari Taufik Hashim (anak kelahiran Pulau Tawar, Jerantut, Pahang) melalui perbualannya dengan bapanya iaitu Datuk Hashim bin Teh dan juga perbualan dengan Ustaz Hanafi sekitar tahun 1978 sedikit sebanyak dapat dikongsikan bersama-sama pengunjung blog.

Setelah mendapat Parang Lading anugerah dari Ustaz Hanafi, Taufik telah menunjukkan Parang Lading kepada bapanya.

"Silat apa kamu belajar? Siapa gurunya?

"Silat Cekak.. Gurunya Ustaz Hanafi..."

Lalu Datuk Hashim menceritakan perihal Ustaz Hanafi kepada anaknya.

"Ayah kenal dengan Hanafi nie.. Hanafi ini ada datang ke Jerantut. Inilah Guru Sebenar Guru yang kamu kena ikut.. Inilah guru yang boleh tunjuk kamu Jalan Kembali.. Kamu ikut pesanan beliau. Ini Parang Lading berhuruf alif, bertapak kijang bererti perjalanan.. Kamu ikut Hanafi nie.." Pesan Datuk Hashim kepada anaknya, Taufik.

__________________________________________________________

Perbualan Taufik Hashim dengan Ustaz Hanafi di Kuala Lumpur pada tahun 1978.

"Taufik, Hang asal mana...?

"Pahang..."

"Pahang kat mana..?

"Pulau Tawar, Jerantut..."

"Orang - orang Pahang nie handal - handal, saya ada ambik satu 'barang baik' kat sana..."

APAKAH 'barang baik' yang dimaksudkan oleh Ustaz Hanafi???

Jumaat, Disember 16, 2011

Kisah Tok Garang IV

Tok Garang IV ada banyak pengalaman bertempur dan berentap.. Antaranya yang sentiasa terpahat di hati sanubari ialah pada tahun 1982 di Panggung Rex, Petaling Street.


Tok Garang IV tidak 'perfect'.. banyak dosa dengan diri sendiri dan manusia serta banyak dosa dengan tuhan robbul alamin. Kalau anda hendak jadi manusia serba 'perfect', anda kena lantik diri anda jadi agent 007. Di dunia ini hanya James Bond sajalah yang perfect..

Allahyarham Tok Garang Yusuf berentap, berbunuhan dah ratusan tahun dulu. Tok Garang IV hanya sekadar berentap mematahkan tulang dan apa-apa saja tulang yang dapat dicapai.

Jam 11.45 pagi (march 1982).. Masa tue Tok Garang IV masih lagi handsome dan muda. Tahun baru nie genaplah 51 tahun... banyak umur dah.. Tok Garang IV beli tiket di kaunter panggung rex.. Ramai manusia berpusu-pusu (ulat tiket pun sibuk)... Tiba-tiba secara tidak sengaja Tok Garang IV berlaga bahu dengan CE.. maklum sajalah, movie yang hendak di tayang adalah movie pasal kung-fu...

Itu CE menjerit sekuat hati.. "Oii melayu.. lu buta , talak nampak ka?
Tok Garang IV membalas kata-kata si CE.."sapa buta..?? lu la buta.. kalau lu nampak lu tepi, jalan laaa..."
Seperti kilat Si CE ini telah bagi satu 'side kick' dan hinggap di kepala Tok Garang IV. Cermin mata Tok Garang IV terpelanting dan berderai...

Walaupun mata Tok Garang IV kurang nampak (kelabu asap) tapi masih bernasib baik mata hati Tok Garang IV terang (tuhan bagi nampak, DIA bagi pinjam sekejap).. lalu ternampaklah penyepak terbang dari Si CE ini.. Tok Garang IV 'repeat' sendeng atas dan 'repeat' siku potong... dua das beb, Si CE terpelanting dan sujud tak mengadap kiblat..

Tok Garang IV ingatkan seorang.. rupa2nya ada ramai CE.. datang seorang dan menjerit seperti saka puaka dengan memasang bunga kung-fu.. "WACAAAA.......!!!". Orang ramai lari bertempeliaran..

Serangan kedua iaitu penumbuk terkena dada Tok Garang IV. Tok Garang IV 'repeat' dengan kidong kiri dan pukulan siku kanan singgah di pipi kanan Si CE ini dan seterusnya mematahkan tangan kanannya... Si CE ini telah jatuh...

Serangan ketiga dan keempat, Tok Garang IV pakai buah hujung dan melempang kedua-duanya.. lalu jatuh terduduk..

Si CE yang kelima menyerang Tok Garang IV dengan pisau seperti yang anda-anda lihat dalam adengan kung-fu... mata pisau itu memcecah perut.. lalu kidong kiri telah di 'apply' dan 'spring' & hentak CE di pinggang dengan lutut... pisau itu telah di rampas tetapi Si CE bernasib baik pisau itu telah terjatuh.. Kesannya pelipat Si CE telah terkulai.. Kalau anda nak sambut kidong kiri, anda kena tahu saat dan ketika (toma'ninah).. Lebih-lebih lagi si penyerang adalah bersenjata... Jangan salah sambut nanti bocor tapak tangan...

Serangan CE yang keenam, penyepaknya kena di sebelah kanan bahu Tok Garang IV.. lalu diblok pakai siku sambil tangan kanan melempang mukanya dan kaki Tok Garang IV menujah lutut kiri Si CE ini hingga patah kakinya..

Si penyerang yg keempat dan kelima tadi bangun dari pening.. sekali lagi bukak dia punya kung-fu.. Tok Garang IV tambah lagi pelempang 'kredit' percuma...

Setelah itu penyerang ketujuh dan kelapan pula telah menumbuk muka... Tok Garang IV telah 'apply' kaedah B (tangan kanan) dan secara serentak tangan kiri melempang belakang tengkuk (sambil menarik tengkuk).. seterusnya siku kanan sampai ke muka.. Si CE ini jatuh dengan sadis-nya.. penyerang kelapan telah dihadiahkan buah kuntau jatuh dari serangan belakang... kesannya amat menyedihkan..

Pertempuran ini mengambil masa setengah minit untuk T.K.O dan K.O...
::Disember 2009::


Selasa, Disember 13, 2011

Kisah Ustaz Hanafi dengan Che Lah Keramat

Sebelum Ustaz Hanafi sampai ke rumah Che Lah Keramat di Terengganu. Dua tiga hari sebelum itu dia telah memberitahu anak-anak murid, kawan-kawan dan jiran-jirannya. "Ada orang besar nak datang..." kata Che Lah Keramat. Yang mana pada fikiran mereka ada pembesar atau menteri akan datang. Tetapi bila Ustaz Hanafi sampai, mereka berasa pelik kerana melihat fizikal Ustaz Hanafi.

Pada masa pertemuan itu Che Lah Keramat telah memberi gelaran 'Ayah Guru' kepada Ustaz Hanafi.

" Mu nie Ayah Guru, bukannya Tok Guru..." kata Che Lah Keramat.

"Apa beza Ayah dengan Tok... ? tanya Ustaz Hanafi.

Jawab Che Lah Keramat secara berkias "Sebab yang tak boleh derhaka ialah dengan Pak atau Ayah, dengan Tok tak apa.."

Pada ketika itulah Che Lah Keramat telah berpesan kepada Ustaz Hanafi. " Lepas ni, tak payah merantau, dok Kedah saja..."

Isnin, November 21, 2011

Haji Hussin Muhammad (Pak Hussin Kelantan)

-SEDANG DIKEMASKINI.... HARAP MAKLUM....-

Rabu, Oktober 05, 2011

Keaslian Silat Cekak Usah Diragukan ~ Hanafi Hj. Ahmad




Saya sangat tertarik membaca ulasan Radzuan Long mengenai Silat Cekak (Dewan Masyarakat – Ogos) yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat September 1973. Sebenarnya ulasan Radzuan Long merupakan satu tuduhan yang mengelirukan dan mungkin pula membahayakan. Tuduhan yang tidak berasas ini memburukkan nama silat cekak. Tuduhan yang sama pernah di lemparkan dalam Konvensyen Seni Silat Melayu di Universiti Sains Pulau Pinang pada 12hb – 14hb 1973 lalu. Sekarang sudah berlarutan pula ke dalam Dewan Masyarakat.

Penulisnya menuduh: pertama, kenapa Ustaz Hanafi menjadi guru silat cekak, sedangkan gurunya masih hidup lagi?

Jawab: Saya menjadi guru silat cekak selepas tamat semua pelajaran. Kemudian saya diberi mandat dan kuasa oleh guru saya. Semua syarat untuk menjadi guru telah diwarisi. Radzuan Long dan abangnya Azmi Long pernah belajar dengan saya pada 10 Januari 1969 di dalam Badan P.S.S.B Seri Kedah. Nombor daftar menjadi ahli 90 bagi Azmi, 91 bagi Radzuan. Kenapa di masa itu tidak ditanya masalah ini?

Kedua: Sebenarnya silat cekak dari Kalimah.

Jawab: Pengakuan ini palsu semata-mata kerana nama silat cekak lahir di Seri Kedah pada 28hb. Disember 1965 bersamaan 5 Ramadhan 1385 di rumah kediaman Shafie Darus, batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Sementara silat Kalimah lahir pada 26hb. November 1971, terdaftar di Pulau Pinang dan alamatnya Sg. Petani, bukan Batu Caves, Kuala Lumpur.

Kemudian, penulisnya mendakwa: Pertama, kata-kata “Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” adalah hak Silat Kalimah.

Jawab: Perkataan Silat Aku Silat Kalimah Aku Silat Dalam Kalimah” mula lahir dari silat cekak. (Lihat keterangan di dalam buku cenderamata Pesta Drama dan Tari Seri Kedah pada 13hb. September 1966 di bawah tajuk “Sedikit Tentang SILAT KEDAH ATAU SILAT CEKAK dari Segi Falsafah, Sejarah dan Kaedah.”).

Kedua: Kata-kata “Ajib Ya Khadam Harful Ba’ Saidul Kharhayail Takunu Kadaihajati” disifatkan sebagai doa yang besar dan asli.

Jawab: Doa itu yang diakui sah dan asli oleh Jahid bin Hj. Sidek (Tutor Pengajian Islam Universiti Malaya) adalah tidak benar. Kerana, doa sebenarnya meminta pertolongan kepada Allah bukan kepada makhluk seperti khadam huruf “BA” yang dimaksudkan dalam makna ayat di atas. Di dalam akidah Islam, meminta pertolongan hanya kepada Allah bukan kepada makhluk. Ilmu yang berkait dengan khadam bukan berasal dari Islam dan tidak pula mengikut Sunah Rasul dan Khulafak Rashudin. Kebanyakan ilmu-ilmu khadam bahkan datangnya dari Maghribi (tempat turunnya segala sihir-sihir). Pengajaran Islam yang sebenar beriman dan mengesakan Tuhan malah mengenal Allah (MAKRIFATULLAH). Orang-orang yang memakai ilmu khadam itu termasuk dalam golongan syirik Khafi (menyengutui Allah yang tersembunyi.

Ketiga: mengikut sejarah, Tuah dibunuh oleh Panglima Kalimah di Kerian, Perak. Perak masa itu dalam pemerintahan Kedah.

Jawab: sebenarnya Tuah (bukan Hang Tuah) dibunuh oleh PANGLIMA silat cekak. Sejarah ini telah tersiar dalam Utusan Zaman ditulis sebagai ASAL USUL SILAT CEKAK oleh Masur Tobing pada 23hb. Oktober 1966. Ketika itu silat kalimah belum wujud lagi. Nampaknya Sdr Radzuan telah mencedok cerita sejarah itu.

Keempat: Kepada orang biasa diajar cuma sebanyak 12 hingga 21 buah dan dipanggil silat cekak. Kalau diajar sepenuhnya silat itu silat kalimah.

Jawab: ini tidaklah betul. Sebenarnya jika mulanya silat cekak akhirnya pun silat cekak juga. Sdr Radzuan masih belum faham apa yang dinamakan silat cekak dan sebab-sebab ia dinamakan sedemikian. Tegasnya sdr Radzuan belum tahkik mengenai ilmu silat yang sejati. Penuntut-penuntut silat cekak diajar hingga tamat (buah serang yang sebijik) tanpa mengira apa-apa martabat.

Kelima: silat kalimah tidak undur ke belakang tapi mara ke hadapan dengan geraksemula jadi (normal).

Jawab: ini adalah konsep silat cekak seperti yang tertulis delam kertas kerja silat cekak untuk Konvesyen Seni Silat Melayu di Pulai Pinang baru-baru ini.

Keenam: ‘….. dan nyata silat cekak sama saja dengan silat kalimah.”

Jawab: sebenarnya silat kalimah berpunca dari silat cekak. Cuma namanya sahaja diubah oleh Sdr. Radzuan.

Ketujuh: Parang lading adalah senjata kalimah.

Jawab: Sebenarnya parang lading adalah satu-satunya senjata silat cekak sperti yang ditulis dalam kertas kerja silat cekak di Konvensyen Seni Silat Melayu. Pemakaian parang lading adalah mengikut ukuran diri sendiri dan tidak boleh dipinjam dan diwarisi. Cara mengukur parang lading dan menyesuaikannya dengan langkah-langkah masih di dalam tangan silat cekak, bukan dalam silat kalimah. Ini jelas kerana dalam Konvensyen dahulu Silat Kalimah menggunakan lambang Kelewang (Kelantan) bukannya lading.

Kelapan: Kata-kata ‘dari hasil seni bukan sukan” dan “penggunaan nama-nama Kaedah A, B, C, D oleh silat kalimah”.

Jawab: kata-kata ini telah digunakan dalam kertas kerja silat cekak untuk konvensyen. Jelas, banyak kata dan konsep dalam kertas kerja yang saya tulis telah digunakan oleh Radzuan (palagiat telah banyak dilakukan). Malahan Radzuan telah menggunakan konsep :tangan di tempat tangan, kaki di tempat kaki” yang juga berasal dari kertaskerja silat cekak untuk menegakkan silat kalimahnya.

Kaedah silat cekak yang sebenarnya adalah seperti berikut: Buah Doa “Dipanggil ‘Sambut’, Kaedah ‘A’

Buah Pertama

Buah Keputusan Gayung Petani

Buah Kidung Kiri

Buah Kidung Kanan

Buah Paras Kiri dan Kanan

Buah Ali Patah Atas

Buah Ali Patah Sudah

Buah Kilas Belakang

Buah Sengkak

Buah Hentak (keputusan Harimau)


Buah Qiam dipanggil Kaedah Kuntau. Kaedah ‘B’

Buah Kuntau Kiri

Buah Kuntau Kanan

Buah Kuntau Jatuh

Buah Kuntau Kiri Gantung

Buah Kuntau Kanan Gantung

Buah Gari 1 dan 2

Buah Keputusan Sendeng Atas Cara Dalam

Buah Ali Patah Sudah cara ‘B’


Buah Ruku’ dipanggil Kaedah Kuntau Pukulan Bawah, Kaedah ‘C’

Buah Kilas Hadapan

Boleh juga Kilas Belakang dengan cara Kaedah ‘C’

Buah Keputusan Terlak

Buah Keputusan Lintau

Buah Tengkisan Penendang

Buah Tengkisan Tikaman Tat


Buah Takbir dipanggil Kaedah Kuntau Tengkisan, Kaedah ‘D’

Buah Hempuk

Boleh juga dibuat Buah Kuntau Kiri


Kesimpulannya silat cekak mempunyai kaedah yang teratur, boleh menengkis pukulan silat dan kuntau. Sebab itu ia dinamakanseni silat cekak (silat yang bertanggungjawab) yang suci, murni, asli, dan bukan ciptaan atau rekaan baru. Jadi nama-nama seperti “buah pasung belakang”, “pasung hadapan”, dan “Gerak Maut”, yang disebutkan oleh Saudara Radzuan dalam silat kalimahnya adalah nama-nama baharu yang direkanya. Sekarang kita kaji sejarah perkembangan silat cekak dan tarikh lahirnya silat kalimah. Silat cekak dilahirkan pada 28hb Disember 1965 bersamaan dengan 5 Ramadhan 1385 menerusi P.S.S.B Seri Kedah. Ketika itu seksi silatnya dipengerusikan oleh saya sendiri . penubuhannya dirasmikan di rumah Encik Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar Kedah. Nama silat cekak, buah-buah dan penangkap-penangkapnya diberikan oleh Sdr Yahya bin Said dari Taiping. Sdr Yahya mengajar silat cekak dalam Seri Kedah di dua buah kelas sahaja. Di rumah Shafie Darus batu 43/4 Jalan Gunung, Alor Setar dan di Alor Merah yang kemudiannya berpindah ke Telok Wan Jah di rumah Othman Ahmad, Alor Setar.

Setelah tamat kursus di kedua-dua buah kelas ini, Yahya mohon berhenti mengajar dan menyerahkan semua mandat (kuasa) dan syarat-syarat menjadi guru kepada saya untuk terus mengajar dan mengembangkan silat ini.

Pada 10 Januari 1969 Azmi dan Radzuan, dua beradik masuk belajar Silat Cekak ini dengan saya. Mereka menjadi ahli Seri Kedah di Sungai Petani, Nombor pendaftaran Azmi Long 90 dan Radzuan Long 91.

Pada 7hb. November 1969, Azmi dan Radzuan Long dipecat menjadi ahli Seri Kedah kerana dasar dan polisi mereka yang bertentangan. Tegasnya mereka menentang saya, gurunya, (bukan Sdr Yahya Said).

Pada 26hb. November 1971, mereka menubuhkan Persatuan Kalimah (bukan Silat Kalimah) didaftarkan di Pulau Pinang. Penubuhan ini dibuat apabila mereka menemuiYahya Said selepas dipecat kerana menentang saya, guru mereka berdua.

Saya telah mengembangkan silat cekak dari Kedah hingga terbentuk Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia pada 19hb. Ogos 1971 yang didaftarkan di Selangor dan bertaraf nasional. Nombor pendaftarannya ialah 973.

Demikianlah Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia dan Persatuan Kalimah lahir berasingan dan terserah kepada semua menentukan yang mana satu benar dan asli.

Jelas kini saya telah melahirkan silat cekak yang selama 40 tahun terpendam di dada Yahya Said tanpa diketahui orang. Saya mengenengahkannya kerana kepentingan kebudayaan Melayu, menimbulkan pusaka Melayu yang asli lagi bertanggungjawab agar mutu seni ini dapat dibanggakan. Setelah menentang guru mereka sendiri mereka masih memakai dan mengaku nilai seni itu sehingga mereka kemudian mengubah nama silat cekak itu menjadi silat kalimah. Tapi yang benar tetap benar.

Selepas dimandatkan menjadi guru silat ini saya tidak terus berpuas hati setakat itu saja. Dengan pengalaman sejak usia lapan belas tahun, dalam seni silat dan kebatinan Islam sejati saya buat kajian dan menapis segala seni silat untuk disesuaikan dengan tujuan bersilat dan sejajar pula dengan peraturan agama Islam.

Saya membuat kesimpulan bahawa seni silat cekak ialah seni silat bukan silat semata-mata. Perbezaan seni dengan bukan seni adalah sangat jauh laksana bumi dengan langit.semua cabang seni seperti seni sastra, seni tari, seni lukis, seni suara, seni dalam kajian filsafat serta Sufi dan seni silat masing-masing mempunyai bakat yang tersendiri.

Bakat seni silat ialah keras lembut yang bermaksud tetap pendirian bukan degil. Lemah lembut pada zahirnya bererti tidak bongkak (ego) dan menerima kebenaran. Tetapi akan berkeras untuk menegakkan yang hak. Bakat asli ini jika diasuh dan dididik akan mencapai keistimewaan, tetapi yang tidak berbakat tetapi ada kemahuan hanya mencapai sekadar ‘dapat’ sahaja.

Konsep seni silat mestilah dibezakan dengan sukan . dalam hubungan ini segala kajian silat mempertahan diri yang tidak bertaraf seni dipanggil silat yang bertaraf sukan. Seni silat dan sukan sama-sama mempunyai pergerakan antara kedua jenis ini sangat jauh bezanya. Seni silat bergerak secara halus sejajar dengan pergerakan semula jadi (normal) dan sememangnya sesuai dipanggil seni. Manakala pergerakan silat jenis sukan bergerak bukan cara normal (pergerakan yang dibuat-buat)

Adalah silap kalau dikatakan jenis pertahanan diri yang diimport dari luar sebagai satu hasil seni kerana pergerakan mereka berdasarkan gerak kasar (bukan normal). Tegasnya jenis pertahanan diri ini tergolong dalam sukan dalam mana kekuatan menjadi ukuran. Pergerakan seni silat adalah halus. Ahli-ahli seni silat yang asli memahami pergerakan halus (BERDENYUT dalam istilat silat), berdasarkan pergerakan yang menurut bukan membangkang. Pergerakan yang membangkang memerlukan tenaga yang kuat justeru ia sejenis sukan. Ahli seni silat yang sebenar boleh menewaskan musuh yang lebih kuat dan bertenaga darinya dengan kaedah yang bijaksana. Cuma silat cekak sahaja yang mempunyai sifat-sifat demikian.

Saya telah mengkaji perkataan ‘cekak’ ini dengan mendalam. Saya pasti perkataan cekak ini bertalian erat dengan tatatbahasa Melayu “makan cekak’ yang bermakna kesanggupan serta bertanggungjawab dalam menjalankan sesuatu tugas. Dalam bahasa Bawean cekak bererti keras. Silat Cekak bererti silat keras atau lebih tepat tetap pendirian dan sanggup bertanggungjawab. Dalam bahasa Minangkabau, cekak bererti “bergaduh” iaitu dari perkataan “BERCHAKAK”. Jadi silat cekak bererti silat yang boleh dibawa bertarung untuk mempertahankan diri. Jelas, dari segi asas perkataan, cekak sesuai dikaitkan dengan seni mempertahankan diri yang bertanggungjawab. Maka itu ia dinamakan silat cekak.

Perkataan asal “cekak” ini dikaitkan pula dengan praktikalnya, yang mengkaji pergerakan. Jadi pada lahirnya sesuai dinamakan silat cekak dan pada batinnya (hakikatnya) silat gerak. Ini sejajar pula jika dikira huruf jawi bagi kedua-dua perkataan itu: cekak (, , ) dan gerak (,, ), sepadan pula dengan perkataan itu Quran (lahir) dan Furkan (hakikatnya)

Jadi seseorang yang mempelajari silat cekak mesti sampai pada pengertiannya kepada pergerakan baharulah tahkik pada ilmu silat yang sebenarnya. Jika tidak ia hanya dapat kulit sahaja. Sesudah tahkik seseorang itu maka baharulah ia sampai kepada GERAK yakni makan segerak (makan gerak dalam gerak) dan dapat menentang musuh sama ada yang dapat dilihat atau tidak, disedari atau tidak terang atau dalam gelap. Bila peringkat ini dicapai baharulah ia sampai ke MAKAN GERAK. Bukan makan cekak cara belajar buah 12-21 seperti yang diterangkan oleh Sdr Radzuan . Faham akan semua peringkat, baharulah seseorang itu layak menjadi penganjur, dan pemimpin silat yang sebenarnya. Jika sekadar sampai pada kulit silat sahaja tanpa ruh silat yang sejati ia tidak layak menerima warisan pusaka. Jika diterima juga ia dianggap perampas kerana tidak mempunyai peribadi amanah . Bila sudah ada amanah dan peribadi keimanan yang sejati baharulah ia layak menjadi GURU.

Jika tidak maka guru itu ibarat kencing berdiri, murid kencing berlari. Pelajar dengan guru demikian bermakna seseorang itu akan menjadi bertambah jahat, bongkak dan sombong. Sebaliknya guru yang sebenar guru (murshid) mempunyai telatah dan peribadi yang tinggi, boleh memimpin ke jalan yang diredhai Allah.

Di dalam peraturan silat cekak konsep ini jelas diutarakan. Pertama perpaduan dengan guru yang sebenar-benarnya guru (murshid), bukan yang fasik dan munafik. Kedua, perpaduan dengan ibu bapa (rumah tangga) yang telah melahirkan kita. Ketiga, perpaduan sesama ahli silat, bukan untuk berpecah belah. Keempat, konsep terhadap masyarakat umum khasnya seluruh masyarakat silat Melayu yang benar-benar asli.

Saya juga telah menganalisa amalan dan buah-buah seni silat cekak itu sendiri. Mungkin anasir luar ada tersadur di dalam silat itu hingga bercanggah tujuan asal ilmu silat ini dengan akidah agama islam khususnya. Jadi saya mengekalkan amalan-amalan yang sesuai dengan asas Islam dan membuang segala yang bertentangan. Saya mempunyai alasan-alasan yang sesuai dan praktikal untuk mengenepikan pemakaian beberapa buah yang agak bertentangan dengan tujuan menuntut ilmu silat.

Buah Rasa dan Pecahan dari Keputusan Gayung Petani (Buah Pusing tangan) telah diketepikan kerana buah-buah tersebut adalah seperti buah silat untuk permainan (pulut) sahaja. Buah Sengkak tidak dipakai kerana membahayakan diri orang yang menggunakannya. Buah Keputusan Sending Bawah Kiri dan Kanan ditinggalkan kerana dipandang sia-sia (memakan waktu). Buah Kedung Kanan didapati sama dengan Kuntau Kanan gantung pemakannya. Anihnya terdapat sejenis buah dalam cekak yang dinamakan Buah Kusyen. Buah ini sungguh pantas dan boleh digunakan di tempat-tempat yang sempit dan dicorok-corok ruang. Ia boleh digunakan semasa duduk di atas kusyen kereta. Jika diserang dalam kereta insya-Allah penyerang itu akan tertewas. Sebab itu ia dinakan Buah Kusyen (sebelumnya buah ini tidak bernama).

Dengan penjelasan dan bukti-bukti yang dibentangkan di atas maka sewajarnyalah seni silat pusaka bangsa ini dinamakan silat cekak kerana pada hakikatnya seni silat cekak itu silat gerak, satu silat lojik. Mengubah nama silat cekak itu kepada nama-nama lain seperti silat kalimah bererti penyelewengan dalam perwarisan pusaka Melayu asli. Sudah cukup jelas bahwa silat kalimah itu adalah silat cekak.

Kepada yang tidak puas hati dengan penjelasan ini, dapat kiranya berhubung dengan ibu pejabat Persatuan Seni Silat Cekak, 32 Jalan Hj. Sirat, Kampung Baharu, Kuala Lumpur untuk keterangan lanjut.