Sabtu, Julai 28, 2012

PAK HUSSIN KELANTAN


(gambar 1993)

Haji Hussin bin Mohamad adalah Pak Hussin, Kelantan, dilahirkan pada 1924 namun didaftarkan tahun 1929 di Kampung Sokor, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan. Berlaku banyak pendaftaran tarikh lahir dilewatkan 5 tahun pada zaman itu, mungkin untuk mengelakkan kerahan tenaga semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Ibunya bernama Zaharah mempunyai lima anak dan Pak Hussin adalah yang ketiga.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Hajah Ronah binti Hussin dari Kampung Sireh, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan dan telah dikurniakan dua anak perempuan yang lahir di Kelantan, lima anak lelaki juga satu perempuan lahir di Kedah dan kemudian lima perempuan juga satu lelaki lahir di Kuala Lumpur.

Perantauannya ke pantai barat semenanjung sekitar awal 50-an bermula apabila beliau mengalami kerugian besar dalam perniagaan di Kelantan. Di antara perusahaan beliau adalah mengeluarkan kain batik cop tangan dan penternakan. Menurut riwayatnya, Pak Hussin mencipta dan mengukir sendiri bunga batik pada papan cop dan membancuh sendiri campuran warna untuk mengekalkan keaslian kain batik cop tangan.
Perhentian pertamanya ialah di Bagan Serai, Perak.
Di sini beliau tinggal dengan keluarga Mat Singa Al Banjari iaitu keluarga bapa mertuanya. Selepas beberapa bulan menumpang dan membantu perniagaan Mat Singa Al Banjari juga dikenali Mat Siam, beliau meneruskan perantauan ke Kedah.

Sewaktu di Kedah, beliau telah tinggal menyewa di beberapa tempat sekitar Alor Setar antaranya Anak Bukit, Titi Gajah, Lorong Bendahara, Jalan Lumpur dan Kepala Batas.
Di sini Pak Hussin berkenalan dengan Ustaz Hanafi Haji Ahmad yang kebetulan tinggal berjiran dengan rumah sewanya dan berkenalan pula dengan Pak Haji Zain yang digelar ramai sebagai Lebai Zain atau lebih dikenali juga Lebai Putaq Alam. Pak Hussin yang berniaga kecil-kecilan di sekitar Alor Setar akan membantu Lebai Zain menyemak kitab-kitab rujukan agama sebelum dijual dikedai menjual bahan bacaan yang diusahakan oleh Lebai Zain.
Pak Hussin dengan Ustaz Hanafi menjadi sahabat akrab apabila berguru kepada Haji Zain dalam ilmu tauhid dan kefahaman dengan merujuk kitab Hikam Ibni Ataillah.

Pada tahun 1962, Pak Hussin membuat nekad untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi membaiki kehidupan keluarga. Beliau mengusahakan kedai makan di Jalan Raja Bot iaitu berhampiran Pejabat Pos lama Jalan Tunku Abdul Rahman – Jalan Raja Bot. Di antara masakan istimewanya ialah mi jawa dan nasi goreng serta mi sup utara juga bubur kacang. Menurut kisahnya, beliau boleh menjual sehingga dua pikul mi setiap malam
Masa terus berlalu sehingga selepas peristiwa 13 Mei 1969, nama Pak Hussin Kelantan menjadi sebutan. Beliau bertanggungjawab sebagai orang utama dalam perjanjian damai Melayu Cina dari Datuk Keramat, Kampung Baru dan sekitar Chow Kit hingga ke Tiong Nam di Jalan Raja Laut dan Kampung Siam dengan istilah MUHIBBAH.

Selepas keadaan kembali aman, kerajaan telah melancarkan kempen pembersihan kumpulan-kumpulan kongsi gelap. Dalam situasi ini, Pak Hussin telah menjemput Ustaz Hanafi yang memimpin Silat Chekak Kedah supaya datang ke Kuala Lumpur bagi tujuan membantu kerajaan mendidik anak bangsa terutamanya orang Melayu dengan nilai-nilai tauhid dan kemanusian.
Dengan penentangan dalam sokongan kuat dari tiga ketua masyarakat tempatan iaitu Pak Hashim Sendeng, Thambi Beranang dan Mat Badang, Silat Chekak mula mendapat tempat.

Pada awalnya kegiatan Silat Chekak digerakkan bersama Biro Sukan Persatuan Bawean Putra di atas hubungan baik Pak Hussin dengan masyarakat sekitar rumahnya di Kampung Datuk Keramat yang rata-ratanya terdiri dari masyarakat Bawean.
Kemudiannya pada tahun 1971 Silat Chekak telah didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Chekak Malaysia beralamat di rumah Pak Hussin Kelantan No 31 Lorong Keramat 19, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Pak Hussin Kelantan juga adalah di antara 4 orang yang bertanggungjawab merekacipta lambang Silat Chekak yang digunapakai oleh PSSCM hari ini. 



Lambang PSSCM

Berlaku sengketa di antara Chekak-Linchah angkara adu domba Mat 41 sekitar tahun 1972/1973. Pak Hussin bertanggungjawab supaya pasukan keselamatan membatalkan permit polis yang telah diluluskan bagi pertarungan/pertandingan kalah mati. Ini adalah bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama Melayu dan akan terjadi permusuhan Melayu Melayu yang berpanjangan sedangkan Tanah Melayu baru sahaja tenang dari sengketa kaum peristiwa 13 Mei 1969.
Pada sambutan perayaan 10 tahun Chekak 1975, beliau dikurniakan Pingat Bintang Berjasa, tetapi dinafikan kerana bukan matlamatnya mengukir nama.
Semasa kemelut Guru Utama PSSCM 1993, beliau telah mencadangkan kepada keluarga Almarhum Ustaz Hanafi dan pihak pengurusan yang diketuai oleh Amrudin Buang dan Nasir Arshad supaya menubuhkan persatuan lain untuk mengelakkan pergaduhan yang boleh mencetuskan pertumpahan darah dengan nama PSSCUHM.

Lambang PSSCUHM

Pak Hussin berhenti mengusahakan kedai makan pada sekitar penghujung 80-an dan menumpukan bidang penulisan ilmu-ilmu agama sebagai wasiat. Beliau telah mula mengumpul dan menulis ilmu-ilmu tauhid, akhlak, tasawuf, ilmu mengenal diri dan sebagainya sejak tahun 1976. Muridnya ada di serata nusantara.

Begitu manusia mati meninggalkan nama seperti tercatat pada batu nisan pusaranya No. 1136 di Tanah Perkuburan Datuk Keramat: Haji Hussin bin Mohamad, meninggal dunia pada 14 Jun 2005 bersamaan 7 Rabiulakhir 1426.
Beliau pergi kembali pada usia 81 tahun kerana sakit tua.
Pada hari ini beliau diberi penghormatan terakhir oleh ramai pendukung lama Silat Chekak, dari keluarga almarhum sahabat beliau Ustaz Hanafi hingga kepada ahli lama dan baru di antaranya Amrudin Buang, Rahman, Hasanmudin, Aziz Mafia, Maideen, Taufik Hashim, Roslan Safar, Wan Azlan, Sham Ghani, Azri Sulaiman, Zainal Midah, M. Lamin Zakaria, Sham Sekolah dan ramai lagi.


Hussin bin Mohamad semasa berusia 28 tahun, lokasi di Alor Setar, Kedah.


Pendidikan:-
  1. Mengaji (belajar) pondok di Kelantan selama 14 tahun.
  2. Berguru kepada Pak Haji Zain dengan kitab Hikam Ibni Ataillah.



Sahabat Hussin bin Mohamad, Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad.


Kehidupan:-
  1. Berniaga makanan dan minuman, kedai dobi, penternakan, pembuatan kain batik dan perubatan herba serta doa.
  2. Yang di Pertua Persatuan Penjaja Melayu Chow Kit, Kuala Lumpur.
  3. Pendakwah bebas.
-sumber dari TD86-

Selasa, Julai 10, 2012

Perubatan Tradisi Tok DEMANG "Waris Tradisi.. Kesannya Sampai Ke Jiwa"




Isnin, Julai 09, 2012

Blog Sahabat Tok Garang, -Tok Bugis